Perbezaan pandangan tidak cerminkan perpecahan dalam kerajaan – Anwar

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 10:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perbezaan pandangan tidak cerminkan perpecahan dalam kerajaan – Anwar

KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses itu mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan setiap kementerian bagi memastikan agenda Kerajaan Madani dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, setiap dasar dan keputusan kerajaan hendaklah melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya bagi memastikan tadbir urus yang berkesan.

“Penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan kerajaan.

“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) sama ada percanggahan terbuka antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menunjukkan perpecahan dalam kerajaan serta pihak yang menentukan pendirian rasmi kerajaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa.

Katanya, pemantauan itu bertujuan menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan, di samping memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif.

“Ini bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya. –UTUSAN

 

The post Perbezaan pandangan tidak cerminkan perpecahan dalam kerajaan – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved