Kadar bekerja graduan UniMAP meningkat, capai 99.3 peratus tahun 2025

14 May 2026 • 5:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kadar bekerja graduan UniMAP meningkat, capai 99.3 peratus tahun 2025
Muhamad Azuan (lima dari kiri) bergambar ketika mengadakan kunjungi hormat ke Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM - Kadar bekerja graduan (GE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menunjukkan peningkatan pada tahun 2025 iaitu mencapai 99.3 peratus berdasarkan pengumuman Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata, sebelum ini pada tahun 2024, kadar GE adalah sebanyak 98.9 peratus.

“Alhamdulillah, itu yang dikeluarkan oleh Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) KPT, sangat tinggi untuk bekerja. Kalau kadar kebolehpasaran graduan (GM) pula kita capai 99.4 peratus.

“Jadi graduan di UniMAP kira laris dalam industri, itu konsepnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan kunjungan hormat ke Karangkraf, di sini pada Khamis.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungan strategik antara komunikasi korporat universiti dan pengamal media, beliau berpendapat ia amat penting dalam memastikan maklumat universiti dapat disampaikan secara tepat, sahih dan berkesan kepada masyarakat.

“Bagi pihak universiti, media dianggap sebagai jambatan utama yang membantu menyebarluaskan segala pencapaian, perkembangan dan kejayaan institusi kepada umum.

“Pengamal media merupakan antara tulang belakang penting kepada kecemerlangan universiti kerana segala hebahan berkaitan pencapaian akademik, penyelidikan, inovasi dan mahasiswa disampaikan kepada masyarakat melalui media,” ujarnya.

Katanya, hubungan baik pihak universiti dengan media perlu diperkukuhkan menerusi komunikasi dua hala yang berterusan.

Justeru, jelasnya, UniMAP sentiasa berhubung rapat dengan rakan media melalui pelbagai pendekatan santai antaranya aktiviti sukan, boling dan pelbagai program lain.

“Kita tidak mahu hubungan yang terlalu formal. Konsep pendekatan lebih mesra dalam menyantuni rakan-rakan media akan memudahkan komunikasi selain tiada jurang antara universiti dan pengamal media.

“Bagaimanapun, sudah tentu ada cabarannya terutama dalam memastikan maklumat sahih dapat disampaikan dengan pantas bagi menangkis penyebaran berita tidak tepat.

“Dalam dunia media sosial sekarang, maklumat tersebar terlalu cepat. Jadi universiti perlu bertindak segera dan bijak mengurus persepsi masyarakat termasuk menukar isu negatif kepada naratif yang lebih positif dan membina,” jelasnya.

Mengulas harapan universiti terhadap pengamal media, beliau berkata, hubungan erat antara kedua-dua pihak perlu terus diperkasakan berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan tanggungjawab sosial demi memastikan masyarakat menerima maklumat berkualiti daripada sumber sahih.