Selangor bantu 400 pekerja Panasonic terjejas ekoran penutupan kilang TV

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Selangor bantu 400 pekerja Panasonic terjejas ekoran penutupan kilang TV Image from: Selangor bantu 400 pekerja Panasonic terjejas ekoran penutupan kilang TV liza29/07/2026 - 17:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai – Nasib kira-kira 400 pekerja Panasonic Malaysia Sdn Bhd yang terjejas susulan penutupan operasi pengeluaran televisyen oleh Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd. (PAVCKM) mendapat perhatian Kerajaan Negeri Selangor.

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pekerja terbabit menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor.

 

Beliau berkata, maklumat berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti keperluan pekerja terjejas serta bentuk bantuan yang sesuai selepas operasi pengeluaran televisyen Panasonic dihentikan.

 

Menurut Amirudin, kerajaan negeri akan melihat peluang yang ada bagi membantu pekerja terbabit meneruskan kerjaya, termasuk penempatan di syarikat atau sektor lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja.

 

“Kita akan lihat bagaimana bantuan boleh diberikan kepada 400 lebih pekerja ini, sama ada mereka boleh diberikan pekerjaan di kilang pembuatan lain atau pun di tempat-tempat lain,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bantuan Baucar Jom Shopping Sempena Hari Pahlawan Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz hari ini.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bersedia membantu pekerja sekiranya mereka memerlukan latihan baharu untuk meningkatkan kemahiran atau beralih kepada bidang pekerjaan lain.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Panasonic tutup kilang Shah Alam pada Mac 2027, kira-kira 400 pekerja terjejas

 

Latihan dan keusahawanan 

Amirudin berkata, selain peluang pekerjaan, pekerja terjejas juga boleh meneroka bidang keusahawanan sebagai salah satu pilihan bagi menjana sumber pendapatan baharu.

 

Dalam pada itu, beliau menggalakkan pekerja Panasonic yang terjejas untuk menyertai Karnival Jelajah JobCare Selangor yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan daripada majikan yang mengambil bahagian.

 

“Kita ada karnival pekerjaan, di sana ada tawaran kerja dan kita alu-alukan mereka untuk hadir. Namun, kita akan lihat juga keperluan mereka kerana mungkin ada sebahagian yang mahu terlibat dalam bidang lain,” katanya.

 

Sebelum ini, Panasonic menerusi satu kenyataan memaklumkan akan menghentikan operasi pengeluaran televisyen oleh PAVCKM bermula September ini.

 

Panasonic susun semula operasi pengeluaran

Keputusan tersebut dijangka memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja menjelang akhir Mac tahun depan selepas syarikat turut merancang menghentikan pengeluaran produk audio Hi-Fi berjenama Technics pada akhir Februari.

 

Panasonic berkata, penamatan operasi itu adalah sebahagian daripada perubahan susunan operasi syarikat bagi menyesuaikan perniagaan dengan keadaan semasa.

 

Pihaknya turut memaklumkan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (EIWU) bagi membantu pekerja terjejas menerusi sokongan penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved