
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak semula kadar elaun diterima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memandangkan kadar sedia ada kini di bawah paras gaji minimum.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kadar elaun baharu itu akan dibawa bagi pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan (MoF).
Beliau berkata, kadar kenaikan yang sesuai itu masih belum ditetapkan, namun ia perlu berada dalam julat munasabah.
“Kadar semasa ini ialah RM8 sejam dan kadar baharu kelak akan diperhalusi bersama Ketua Setiausaha KDN serta perlu mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.
“Kadar RM8 sejam ketika ini dengan penugasan minimum lapan jam sehari dan 24 hari sebulan tidak melepasi kadar gaji minimum.
“Dan itu mungkin ada sedikit kekurangan dalam konteks semangat empati dan simpati Kerajaan Madani ini di bawah agensi KDN,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.
Katanya, bagi agensi kawalan keselamatan misalnya, kadar elaun berada pada tahap antara RM12 ke RM13 satu jam penugasan.
Pada masa sama, Saifudin berkata, pihaknya telah memulakan perbincangan awal dengan MoF ketika sesi rundingan Belanjawan 2027.
“Kepimpinan tertinggi kementerian diarah mengemudikan perundingan lanjutan ini agar kadar baharu dapat dimuktamadkan secara rasmi.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, kira-kira 1,300 anggota RELASIS atau Relawan Siswa Siswi di universiti bakal menerima elaun latihan RM8 sejam, selepas sebelum ini tidak pernah menikmati sebarang elaun.
Katanya, beliau sudah berbincang dan memuktamadkan perkara itu bersama Ketua Pengarah RELA, dengan pemberian berkenaan dilihat wajar kerana anggota RELASIS menjalani latihan sebagai sebahagian daripada penglibatan mereka dalam pasukan beruniform.
RELASIS ditubuhkan di universiti sejak 2017, namun menurut Saifuddin, anggotanya selama ini tidak menerima sebarang elaun berbeza dengan SUKSIS atau Kesukarelawan Polis dan Kadet APMM di universiti. – UTUSAN
The post Kadar elaun anggota Rela RM8 sejam disemak semula appeared first on Utusan Malaysia.






