hamden03/11/2026 - 10:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov - Prospek pendapatan Velesto Energy Bhd dijangka kekal mencabar susulan kelemahan kadar sewa harian (DCR) pelantar penggerudian jenis jack-up di peringkat global, selain persaingan semakin sengit berikutan kemasukan semula pelantar dari pasaran antarabangsa ke Asia Tenggara.
Hong Leong Investment Bank (Research) berkata, tekanan itu turut diburukkan oleh komitmen pembayaran dividen Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) yang lebih tinggi, berpotensi mengehadkan peruntukan perbelanjaan modal (capex) bagi aktiviti sektor huluan domestik dan seterusnya mengekang permintaan terhadap perkhidmatan penggerudian.
Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar DCR bagi pembaharuan kontrak Velesto berpotensi sederhana kepada AS$90,000 hingga AS$100,000 sehari berbanding kira-kira AS$110,000 sehari sebelum ini, berdasarkan semakan saluran pasaran.
Menurut firma itu lagi, walaupun harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi menyokong aliran tunai operasi, perbelanjaan modal sektor huluan masih bergantung kepada keutamaan peruntukan modal PETRONAS, komitmen pembayaran dividen serta tempoh kelulusan projek.
"Komitmen pembayaran dividen PETRONAS sebanyak RM32 bilion pada 2027, meningkat 18.5% tahun ke tahun (YoY), berpotensi mengurangkan dana tersedia untuk pelaburan sektor huluan, sekali gus menjadi cabaran kepada penyedia perkhidmatan dalam industri berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Berdasarkan Tinjauan Aktiviti PETRONAS 2026-2028, keperluan pelantar jack-up dijangka hampir mendatar pada sembilan unit tahun ini berbanding 10 unit pada 2025, sebelum meningkat secara sederhana kepada 10 hingga 12 unit pada 2027 hingga 2028.
Pemulihan itu dijangka didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti penggerudian di luar pesisir Sarawak.
Persaingan pasaran pelantar jack-up di Asia Tenggara sengit
Pada masa sama, pasaran pelantar jack-up global terus menunjukkan kelemahan apabila kadar DCR penanda aras merosot kepada kira-kira AS$94,000 sehari pada separuh pertama tahun kalendar 2026 (1HCY26), susut 6% YoY dan 24% berbanding paras 2024, menurut Westwood.
Persaingan di Asia Tenggara turut meningkat apabila lebih banyak pelantar dari pasaran antarabangsa ditempatkan semula ke rantau ini, sekali gus menambah bekalan dan memberi tekanan kepada kadar sewaan.
Antara perkembangan ketara termasuk pelantar Admarine 502 milik ADES yang ditempatkan semula dari Arab Saudi ke Thailand pada 2024 sebelum memperoleh kontrak penggerudian di Indonesia.
Selain itu, PV DRILLING IX milik PV Drilling yang sebelum ini beroperasi di Laut Utara mula menjalankan operasi di Vietnam, manakala Compact Driller milik ADES yang sebelum ini dikontrak oleh ONGC di India memperoleh kontrak selama dua tahun di Brunei.
Perkembangan itu meningkatkan persaingan dalam mendapatkan kontrak penggerudian di Asia Tenggara, sekali gus memberi tekanan kepada prospek kadar sewaan pelantar di rantau ini.
Bagi Velesto, tamat tempoh kontrak sedia ada yang menawarkan kadar lebih tinggi berpotensi menyebabkan kadar DCR bagi pembaharuan kontraknya disemak lebih rendah kepada AS$90,000 hingga AS$100,000 sehari.
Daripada enam pelantar jack-up miliknya, NAGA 2 dan NAGA 8 mempunyai liputan kontrak sehingga selepas FY2027, manakala NAGA 4 dan NAGA 5 masih dalam rundingan bagi kemungkinan memperoleh kontrak kerja baharu pada pertengahan FY2027.
Penganalisis mengekalkan saranan PEGANG terhadap saham Velesto, namun menurunkan harga sasaran kepada RM0.19 daripada RM0.28 sebelum ini berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY2027. - DagangNews.com






