Kaedah jualan bawa pulang jana RM73 juta hasil Empire Premium Food bagi 1QFY27

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kaedah jualan bawa pulang jana RM73 juta hasil Empire Premium Food bagi 1QFY27 Image from: Kaedah jualan bawa pulang jana RM73 juta hasil Empire Premium Food bagi 1QFY27 amree21/08/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos — Pengendali rantaian susyi terbesar di Malaysia, Empire Premium Food Berhad, mendedahkan segmen jualan bawa pulang terus menjadi nadi utama perniagaan dengan menjana RM73.15 juta atau 86.39% daripada keseluruhan hasil suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

Kejayaan ini dicapai di sebalik beberapa cabaran operasi dihadapi, termasuklah peningkatan kos pembelian bahan mentah, kenaikan kos kakitangan langsung bagi menyokong pembukaan cawangan baharu, serta perbelanjaan pentadbiran sekali sahaja berjumlah RM1.65 juta untuk tujuan penyenaraian.

 

Selain itu menurut kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Empire Premium Food turut berdepan dengan isu penurunan purata perbelanjaan sebanyak 2.6% bagi setiap transaksi pelanggan.

 

"Di sebalik isu kos tersebut, prospek jangka panjang kekal cerah dipacu oleh pemulihan berterusan sektor pelancongan menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan pasaran perkhidmatan makanan domestik yang disokong kestabilan perbelanjaan isi rumah," katanya.

 

Melihat kepada landskap pasaran domestik yang menggalakkan ini, syarikat menyatakan keyakinan tinggi terhadap prospek bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY27) dengan sasaran mengendalikan sejumlah 158 cawangan menjelang penghujung tahun kewangan berkenaan.

 

Pelan pengembangan ini ujar Empire Premium akan memfokuskan kepada pembukaan lebih banyak restoran susyi makan segera menggunakan konsep tali sawat di lokasi-lokasi strategik.

 

Empire Premium Food_DagangNews2026

 

Walaupun purata nilai transaksi pelanggan mencatatkan sedikit penurunan, isu tersebut berjaya diimbangi menerusi peningkatan volum transaksi keseluruhan sebanyak 8.4% berbanding suku sebelumnya.

 

Keadaan ini mencerminkan keupayaan jenama syarikat yang mantap untuk terus menarik kunjungan pelanggan ke cawangan mereka yang sedia ada mahupun yang baharu. Syarikat juga komited untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merangsang prestasi jualan dan meningkatkan nilai purata transaksi pada masa hadapan.

 

"Pertumbuhan volum transaksi ini sebahagian besarnya disokong oleh corak perbelanjaan pengguna selepas berakhirnya bulan Ramadan, serta peningkatan trafik pelanggan semasa musim cuti sekolah pertengahan tahun," jelas Empire Premium Food.

 

Selain itu, prestasi kukuh daripada cawangan sedia ada serta sumbangan jualan daripada lapan cawangan baharu yang dibuka dalam suku di bawah tinjauan turut menyokong momentum peningkatan ini.

 

Hasil daripada faktor pemulihan dan pengembangan ini, kumpulan di bawah jenama 'Empire Sushi' ini memulakan suku pertama FY27 dengan prestasi kewangan yang mantap dengan hasil RM84.68 juta, mencatatkan peningkatan 5.5% berbanding RM80.27 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

 

Baki sumbangan hasil sebanyak RM11.53 juta atau 13.61% disumbangkan oleh segmen makan segera, termasuklah sumbangan daripada dua restoran makan segera terbaharu yang dibuka di Aman Central di Alor Setar, Kedah dan Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur.

 

Seiring dengan peningkatan hasil suku tahunan ini, untung kasar kumpulan meningkat sebanyak 4.8% kepada RM35.01 juta berbanding RM33.41 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya. Bagaimanapun, peningkatan kos margin kasar diimbangi sebahagiannya oleh kos pembelian bahan mentah dan kos kakitangan langsung yang lebih tinggi bagi menyokong pembukaan cawangan baharu serta persiapan bagi pembukaan cawangan yang akan datang.

 

Bagi prestasi keuntungan bersih suku di bawah tinjauan, syarikat mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM15.14 juta dan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM10.85 juta. Keuntungan ini telah mengambil kira kos pentadbiran sekali sahaja berjumlah RM1.65 juta bagi tujuan penyenaraian di Bursa Malaysia.

 

Berikutan kejayaan penyenaraian di Pasaran Utama pada 17 April 2026, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicole Lim, menyatakan kedudukan kunci kira-kira syarikat kini lebih kukuh dengan baki tunai dan kesetaraan tunai bernilai RM222.26 juta. Syarikat bersedia mempercepatkan pelan perluasan rangkaian serta meningkatkan kecekapan operasi demi memberikan pertumbuhan jangka panjang dan nilai mampan kepada para pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved