amree20/08/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos — Censof Holdings Berhad berjaya melaksanakan kecekapan operasi secara agresif bagi mengurangkan kos jualan sekali gus meningkatkan prestasi bagi suku pertama FY27.
Tumpuan jitu terhadap keberkesanan kos ini terbukti membuahkan hasil apabila keuntungan syarikat tersebut dapat melonjak tinggi walaupun berdepan dengan landskap pasaran semasa yang mencabar.
Menurutnya kepada Bursa Malaysia, melalui inisiatif kecekapan yang dirancang sejak akhir tahun kewangan lalu, kos jualan berjaya dikurangkan sebanyak 14.2% kepada RM13.6 juta bagi suku dikaji.
"Pengurangan kos ini menjadi pemangkin utama yang memacu keuntungan kasar meningkat sebanyak 8.1% kepada RM10.3 juta berbanding kira-kira RM9.6 juta dicatatkan tahun sebelum ini," jelas Censof.
Keberkesanan pengurusan kos tersebut turut menyaksikan margin keuntungan kasar berkembang kepada 43.3% berbanding hanya 37.7%, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) naik 77.1% kepada RM2.7 juta.
Kumpulan tersebut namun tidak terlepas penyusutan hasil keseluruhan yang turun 5.8% kepada RM23.9 juta susulan sumbangan lebih rendah melalui segmen pengurusan kekayaan serta teknologi digital.

Selain itu, Censof juga menguruskan isu perundangan membabitkan anak syarikatnya Century Software Malaysia berhubung kes pertikaian timbang tara dengan Cedre International di mahkamah tinggi.
"Di sebalik itu, prospek jangka panjang kekal positif dipacu agenda pendigitalan negara, terutama pelaksanaan rangka kerja e-Invois nasional serta inisiatif InvoiceNow di Singapura," tambahnya.
Fokus kerajaan terhadap inisiatif teknologi di bawah Belanjawan 2026 dengan dana penyelidikan kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan Awan AI Berdaulat turut memberi kelebihan kepada syarikat.
Polisi yang disifatkan sebagai mesra teknologi ini jelasnya, meletakkan Censof dalam kedudukan strategik untuk dapat merebut banyak peluang kontrak baharu daripada sektor awam dan swasta.
Segmen rumusan pengurusan kewangan kerajaan (FMS-G) kekal menjadi tulang belakang kumpulan dengan menyumbang hasil sebanyak RM16.6 juta berikutan penambahan kontrak penyelenggaraan sistem lama.
"Sementara itu, segmen komersial pula merekodkan pendapatan sebanyak RM5.8 juta dengan sokongan pertumbuhan secara berterusan daripada langganan platform perniagaan syarikat," jelas kumpulan.
Pengarah Urusan Censof, Ameer Shaik Mydin menegaskan tumpuan berterusan syarikat terhadap peningkatan kecekapan serta asas pendapatan berulang telah membuahkan hasil memberangsangkan.
Dengan kedudukan kewangan stabil, kumpulan kekal optimis terus menyampaikan prestasi yang memuaskan sepanjang tahun kewangan ini disokong oleh kontrak sedia ada. - DagangNews.com






