Kai Wun-Roy King, Azriyn-Wee Kiong tempah slot separuh akhir

4 Sep 2026 • 10:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kai Wun-Roy King, Azriyn-Wee Kiong tempah slot separuh akhir

 

PETALING JAYA: Beregu eksperimen negara, Tee Kai Wun-Yap Roy King terus mempamerkan persembahan yang semakin serasi selepas mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Pasangan yang menghuni ranking ke-132 dunia itu menewaskan beregu No. 28 dunia, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami dari Jepun 21-13, 19-21, 21-12 dalam masa 56 minit di suku akhir.

Kai Wun-Roy King bakal berdepan wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu yang mengetepikan satu lagi beregu pecah ganding Malaysia, Soh Wooi Yik-Aaron Tai 21-16, 17-21, 21-16 dalam masa 1 jam 4 minit.

Ketika ditanya tentang aksi separuh akhir menentang Ji Ting-Xiang Yu, Kai Wun berkata, dia enggan berfikir banyak dan lebih selesa meletakkan gandingannya bersama Roy King sebagai ‘underdog’.

“Kita hanya mahu lawan sahaja, tak nak fikir banyak kerana kami beregu ‘underdog’,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Menurut Kai Wun, selepas berpasangan dengan Roy King dalam beberapa kejohanan, dia kini semakin dapat menyesuaikan diri dengan kerjasama baharu tersebut.

“Sekarang saya sudah tahu bagaimana hendak mengendalikan situasi, bagus juga sebab kami dapat belajar sesuatu yang baharu. Permainan (Roy) King juga semakin meningkat,” katanya.

Roy King turut sependapat dengan rakan seperjuangannya itu dan memuji Kai Wun berjaya menjadi pembimbing yang baik kepadanya.

“Kejayaan ini merupakan satu langkah besar untuk kerjasama kami ini, saya gembira kami berjaya bangkit dalam set penentuan.

“Kai Wun banyak membantu meningkatkan permainan saya, sebelum ini saya berpasangan dengan Arif (Junaidi),” ujarnya.

Sementara itu, satu lagi beregu negara, Nur Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong turut mara ke separuh akhir selepas menumbangkan pasangan No. 7 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Mohammad Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia 21-17, 16-21, 21-19 dalam masa 56 minit.

Gandingan No. 29 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan beregu No. 5 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India pada separuh akhir, esok. – UTUSAN

The post Kai Wun-Roy King, Azriyn-Wee Kiong tempah slot separuh akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved