Kaji semula pembatalan projek Sabah

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 4:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kaji semula pembatalan projek Sabah

Kuala Lumpur: Ahli-Ahli Parlimen Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula status pembatalan tender projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah supaya projek tersebut diteruskan untuk kesejahteraan rakyat.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, yang mengetuai sidang media Ahli-Ahli Parlimen Sabah tersebut, juga mendesak Kerajaan Persekutuan bagi menyalurkan baki peruntukan bagi memulihkan modal pusingan kontraktor tempatan.

Menurut Ewon, sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara sedang mengalami tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan tanah dengan melibatkan jumlah nilai keseluruhan sebanyak RM259.503 juta.

“Apa yang lebih mengejutkan, Wilayah Sabah mencatatkan tunggakan paling parah iaitu sebanyak RM118.84 juta melibatkan 35 projek.

“Walaupun Kementerian Kewangan mengumumkan suntikan tambahan, namun ia masih gagal menutup lompang tunggakan sedia ada yang amat kritikal.

“Kegagalan tersebut memaksa Kerajaan mengambil langkah mudah yang menghukum rakyat luar bandar di seluruh negara melalui dua tindakan drastik,” katanya.

Beliau berkata, langkah pertama ialah Pembatalan Proses Tender Berskala Besar melibatkan 40 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.144 bilion. Pembatalan tender ini telah menjejaskan peruntukan sebanyak RM1.716 bilion di Sabah untuk 13 projek JALB Sabah.

Langkah kedua ialah Penangguhan Surat Setuju Terima (SST) melibatkan 87 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan RM8.096 bilion.

Ini bermakna projek-projek Sabah yang terjejas membabitkan jumlah lebih RM2.2 bilion.

Arahan membekukan pengeluaran SST ini memberi kesan kepada tujuh projek JALB di Sabah dengan nilai peruntukan sebanyak RM548.85 juta.

“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak dalam Dewan Parlimen agar hak rakyat luar bandar Sabah tidak dinafikan,” katanya.

Selain Ewon, sidang media tersebut turut disertai oleh Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching dan Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved