
Kota Kinabalu: Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipenjara 11 tahun serta menerima sebatan atas kesalahan menggunakan jawatannya mengganggu remaja lelaki secara fizikal dan seksual.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman terhadap Sharif Hardi Roman Sh Miasin selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah terhadapnya.
Sharif didapati bersalah melakukan kesalahan itu dengan melakukan seks oral ke atas seorang remaja lelaki berusia 15 tahun itu pada jam 4.40 petang, 4 Januari 2022 di tandas VVIP di bangunan JPN.
Dia disabitkan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan Sharif menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh hukuman penjara serta diletakan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman tersebut.
Sharif diarahkan memulakan hukuman penjara bermula dari tarikh sabit kesalahan (Khamis) namun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Ketika menjatuhkan hukuman mahkamah menyatakan bahawa pada masa kesalahan itu dilakukan Sharif bekerja di JPN dan telah menggunakan kedudukannya untuk memanggil mangsa yang datang dari Tawau ke Kota Kinabalu selepas Sharif menawarkan bantuan kepadanya.
Mahkamah selanjutnya menyatakan bahawa Sharif telah meminta remaja tersebut pergi ke tandas dan kemudian telah mencabulnya.
Oleh itu mahkamah telah menimbangkan faktor-faktor mitigasi dan pemberat sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Sharif.
Diketahui semasa perbicaraan bahawa Sharif telah menghubungi remaja lelaki itu dan adik-beradiknya untuk mendapatkan kad pengenalan serta meminta mangsa pergi ke tandas di mana dia melakukan seks oral ke atas remaja lelaki tersebut.
Semasa rayuan bagi pengurangan hukuman Datuk Rakhbir Singh yang mewakili Sharif memohon agar hukuman diringankan dengan alasan bahawa anak guamnya adalah pesalah kali pertama, tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan telah hadir ke mahkamah dengan tekun pada setiap prosiding untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon agar mahkamah mengenakan hukuman paling berat terhadap Sharif dengan mengambil kira faktor-faktor tertentu termasuk keseriusan jenayah tersebut di mana Sharif telah melakukan perbuatan keji terhadap mangsa dengan menghisap kemaluannya.
Nurul Shafeerah menyatakan bahawa mangsa berusia 15 tahun ketika kejadian berlaku dan insiden itu telah menyebabkan mangsa mengalami trauma yang akan kekal sekali gus menjadi episod hitam sepanjang hidupnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sharif telah membazirkan masa dan sumber apabila kes ini dibicarakan sepenuhnya melibatkan seramai tujuh orang saksi yang telah disepina sekali gus membazirkan masa dan sumber semua pihak yang terlibat.
