
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka telah memerintahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM300,000 merangkumi ganti rugi am sebanyak RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Ia berikutan kes saman fitnah yang difailkan oleh Teresa pada 25 Oktober 2024 dengan mendakwa Akmal telah mengeluarkan kenyataan yang menghina serta merendahkan dirinya menerusi satu video di Tiktok pada 7 September 2024.
Akmal Buka Bidaan Motosikal & Ikan Ternakan Demi Bayar Ganti Rugi RM300,000
Terbaharu, Akmal dalam satu kenyataan di Facebook membuka bidaan dua aset kesayangannya yang merupakan Motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan bagi membayar ganti rugi terbabit.
Jelas Akmal, jumlah RM300,000 itu amat besar buatnya apatah lagi simpanan sedia ada juga masih belum mencukupi untuk melangsaikan ganti rugi terbabit.
“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi.
“Sebab itu, dengan berat hati, saya membuka bidaan untuk dua aset kesayangan saya, Motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan saya.
“Inilah dua aset yang telah habis dibayar dan boleh saya jual. Saya tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan jumlah ini,” tulisnya.
Berat Hati Berpisah Dengan Aset Tersayang, Enggan Susahkan Orang Lain
Kongsi Akmal, meskipun ada yang mencadangkan agar membuka tabung sumbangan bagi membantunya melangsaikan jumlah terbabit, namun Akmal mendedahkan dia mahu berusaha sendiri.
“Ada juga yang mencadangkan supaya dibuka tabung sumbangan bagi membantu saya menjelaskan ganti rugi dan kos berjumlah RM300,000 ini. Saya amat menghargai keikhlasan dan keprihatinan tersebut.
“Sejujurnya, saya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah itu. Tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah tersebut akan saya pikul sepenuhnya.
“Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu. Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing.
“Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu,” katanya.
Malah, dia sememangnya berat untuk berpisah dengan kedua-dua asetnya itu namun dia enggan menyusahkan orang lain dan mahu berusaha sendiri dengan apa yang dimilikinya.
“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat. Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang.
“Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan,” katanya.
Akmal Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Mereka Yang Beri Sokongan
Pada masa sama, Akmal turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti memberi sokongan terhadapnya.
“Kepada sahabat yang mendoakan, terima kasih. Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya.
“Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan.
“Terima kasih kerana menemani saya dengan doa. Mudah-mudahan Allah permudahkan,” tulisnya.
Selain Ganti Rugi, Mahkamah Perintah Akmal Padam Hantaran
Selain ganti rugi RM300,000, Akmal turut diperintah menurunkan hantaran berkaitan selama tujuh hari selain turut melarangnya mengulangi kenyataan berkenaan.
Sebelum ini, Teresa telah memfailkan saman fitnah terhadap Akmal berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang ditujukan kepada beliau mengenai isu pensijilan halal negara.
Teresa mendakwa Akmal telah memfitnahnya menerusi dua artikel yang diterbitkan oleh sebuah media bertajuk ‘Akmal: Saya Minta Kerajaan Sediakan Logo Non-Halal, Tampal Pada Dahi Teresa’ dan ‘UMNO Youth Chief swipes at ‘old Nyonya’ Teresa over halal cert’.
Baca Artikel Berkaitan: Teresa Kok Tuntut Ganti Rugi RM25 Juta, Akmal Respon ‘Kita Jumpa Di Mahkamah’
Baca Artikel Berkaitan: “Bring It On” – Dr Akmal Saleh Tidak Gentar Jika Teresa Kok Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang






