Sumpahan T20: Menangis di dalam Vellfire

LocalOpinion
14 May 2026 • 3:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sumpahan T20: Menangis di dalam Vellfire
Golongan yang menangis di dalam kereta mewah, tetapi air matanya tidak laku di mahkamah simpati rakyat. - Gambar hiasan janaan AI

PUSAT Bandaraya Kuala Lumpur pada jam 6:30 petang bukan sekadar sebuah lokasi. Ia adalah sebuah filem sosiologi yang bergerak perlahan. Di Jalan Tun Razak, sebuah Proton lama menderu dengan ekzos bocor mencelah di celah-celah kenderaan dengan keberanian yang didorong oleh keperluan.

Di lorong kanan, sebuah Vellfire hitam berkilat dengan cermin gelap membunyikan hon.

Jika momen itu divisualkan ke TikTok, pasti netizen melabel pemandu Vellfire itu sebagai 'elit terpaling mangsa'. Namun, jika kita mampu menembusi lapisan cermin gelap itu, kita mungkin melihat realiti yang jauh berbeza.

Kita mungkin melihat seorang lelaki berusia 40-an yang dahinya berkerut seribu sedang berkira-kira selepas membayar ansuran kereta, pinjaman perumahan di Damansara, insurans keluarga dan yuran sekolah antarabangsa anak yang harganya menyamai harga sebuah Myvi terpakai setiap semester.

Benar beliau bertugas di bilik yang mempunyai pendingin hawa yang beku. Namun ada kepenatan yang tak terzahir kata. Dia lelah dari satu mesyuarat dasar ke mesyuarat operasi hingga terlepas momen anak membesar.

Kemewahan hidup yang adalah hanyalah sebuah ‘empayar kad terup’ yang cukup rapuh. Lelahnya itu bersirat antara masa dan kesihatan mental.

Inilah paradoks T20. Golongan yang menangis di dalam kereta mewah, tetapi air matanya tidak laku di mahkamah simpati rakyat. Rencana ini bukan untuk membela kebejatan harta, tetapi untuk membedah sebuah retakan besar dalam naratif sosial negara.

Antara retorik dan 'zombi kelas atasan'

Untuk kefahaman lanjut, kita perlu melakukan pembedahan forensik terhadap demografi ini. Di Malaysia, klasifikasi T20 (20 peratus pendapatan tertinggi) telah menjadi sebuah bakul yang terlalu besar dan tidak adil.

Terdapat jurang yang melebar antara Old Money golongan elit yang memiliki aset turun-temurun dengan profesional T20 yang bergantung sepenuhnya kepada slip gaji bulanan untuk bernafas.

Bagi profesional di bandaraya ini, pendapatan isi rumah RM15,000 sebulan bukanlah tiket ke syurga kemewahan. Selepas ditolak potongan wajib, komitmen perumahan bandar dan kos logistik, mereka sebenarnya adalah mangsa kepada inflasi kos sara hidup yang agresif.

Namun, naratif kaya di atas kertas ini sering kali mengaburkan fakta bahawa mereka juga sedang bergelut untuk mengekalkan survival di tengah-tengah ekonomi yang menghimpit.

Konflik T20 di media sosial adalah sebuah pertembungan antara ego dan perut. Kita sering disajikan dengan pempengaruh yang memuat naik video "a day in my life" yang memaparkan gaya hidup dengan kopi secawan RM30 dan beg tangan bernilai lima angka.

Ditambah dengan gaya sesuka hati memberi helaian RM kepada sesiapa dirasakan perlu atas tiket membantu tapi tetap merakamnya sebagai 'content'. Ini adalah racun yang menyemarakkan api kebencian kelas. Bagi rakyat yang sedang bergelut membeli minyak masak paket, visual tersebut adalah satu penghinaan.

Dalam dunia korporat, imej kejayaan adalah modal dan pelaburan. Seorang perunding atau peguam kanan tidak boleh hadir ke mesyuarat dengan pakaian yang lusuh jika ingin mengekalkan kepercayaan pelanggan. Ini adalah perangkap sosiologi.

Mereka terpaksa melabur dalam penampilan demi menjaga kredibiliti yang membiayai gaji mereka.

Paradoks pembayar cukai dan keretakan kontrak sosial

Dari sudut pandang kenegaraan, ketegangan ini mencerminkan keretakan dalam kontrak sosial baru. Kelompok T20 mula mempersoalkan nilai pulangan (ROI) daripada sumbangan cukai mereka. Ada satu perasaan nakal dan sinis yang mula merayap dalam pemikiran pembayar cukai ini. Satu rasa dikhianati oleh sistem.

Apabila mereka membayar cukai progresif yang tinggi, tetapi pada masa yang sama dinafikan akses kepada subsidi petrol, bantuan tunai atau malah dipinggirkan dalam peruntukan pendidikan awam, timbul rasa 'dianaktirikan'.

Mereka merasa seperti mesin ATM negara yang hanya diperlukan untuk mengisi tabung, tetapi ditinggalkan di tepi jalan apabila bantuan diagihkan.

Lebih ironis lagi, apabila golongan T20 ini cuba berjimat dengan menggunakan fasiliti awam seperti hospital kerajaan yang sesak atau pengangkutan awam, mereka sering dihakimi, 'kaya tapi kedekut, nak sapu hak orang miskin!' sindir netizen.

Ini merbahaya. Jika kita terus menghukum golongan yang berjaya memanjat tangga ekonomi, kita sebenarnya sedang menghantar isyarat yang salah kepada generasi muda negara.

Kita seolah-olah mengatakan bahawa kecemerlangan ekonomi akan disusuli dengan peminggiran sosial dan liabiliti kewangan yang lebih besar.

Ancaman pelarian bakat dan modal

Jika naratif kebencian kelas ini tidak diuruskan dengan baik, negara berdepan dengan ancaman yang lebih besar. Golongan profesional T20 seperti doktor pakar, jurutera kanan, pakar IT dan usahawan teknologi mempunyai sesuatu yang tidak dimiliki oleh semua orang iaitu mobiliti.

Apabila mereka merasa sumbangan mereka tidak dihargai dan hidup mereka terus menjadi sasaran populisme politik, mereka tidak akan turun ke jalanan untuk berdemonstrasi. Sebaliknya, mereka akan melakukan "perpindahan senyap”.

Mereka akan membawa bakat, modal, cukai dan seisi keluarga ke Singapura, Australia atau Eropah.

Negara tersebut mungkin lebih mahal, tetapi menawarkan sistem timbal balas yang lebih adil dalam bentuk kualiti hidup dan perlindungan sosial.

Kehilangan kelompok ini bermakna kehilangan pemacu ekonomi dan inovasi negara dalam tempoh panjang. Kita tidak boleh membina sebuah negara maju jika kita menghalau otak-otak terbaik kita melalui naratif diskriminasi kelas yang sempit.

Kedaulatan ekonomi

Kita harus meletakkan isu ini dalam kerangka kedaulatan ekonomi nasional. Malaysia tidak boleh menjadi negara maju yang bermaruah jika rakyatnya hidup dalam kecurigaan kelas yang kronik.

Naratif komunikasi nasional seharusnya beralih daripada memfokuskan kepada "siapa yang patut hilang subsidi" kepada "bagaimana kita memastikan setiap sen cukai diterjemahkan kepada kemakmuran bersama”.

Penyasaran subsidi sepatutnya tidak dilihat sebagai hukuman kepada yang berjaya, tetapi sebagai satu langkah penyusunan semula kekayaan untuk membina infrastruktur yang lebih berkualiti untuk semua.

Kedaulatan adalah apabila seorang T20 tidak berasa segan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana kualitinya yang setaraf dunia dan seorang B40 menikmati mobiliti yang sama.

Menuju gencatan senjata kelas

Kita perlu membina sebuah negara di mana seorang anak peneroka boleh bercita-cita menjadi T20 tanpa rasa takut akan dibenci. Seorang eksekutif bandar boleh hidup sebagai T20 tanpa rasa terhimpit oleh sistem.

Jawapannya bukan pada memotong lebih banyak subsidi atau mengecam lebih kuat di ruangan komen. Jawapannya terletak pada keberanian kita untuk membina sebuah negara di mana sumbangan dihormati secara saksama, kegagalan akan dibantu dan kejayaan dijulang dan dihargai.

Pada akhirnya, dalam ekonomi yang mencabar ini semua orang sebenarnya sedang bergelut. Bezanya cuma sama ada anda bergelut di bawah kipas siling yang berbunyi atau di bawah pendingin hawa berpusat.

Menangis di dalam Vellfire atau menangis di atas motosikal, air matanya tetap masin. Seruan saya untuk rencana ini, marilah kita berhenti mencari musuh dalam kalangan jiran kita sendiri dan mula menuntut sebuah sistem yang lebih adil untuk semua tanpa mengira apa label yang tertera pada slip gaji.

Dengan cara ini, akan berakhirlah sumpahan T20 dan terlerai juga segala sumpahan pengkelasan sosial negara.

*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif