'Kalau boleh biar anak pergi dulu'- Naqiu kongsi realiti besarkan anak autisme, akui takut apa jadi bila dia tiada nanti

Family & ParentingLifestyle
9 Apr 2026 • 2:37 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KALAU boleh… biarlah anak pergi dulu sebelum saya.”

Ayat ini mungkin kedengaran kejam bagi sesetengah orang. Tetapi bagi penyanyi Naqiu, itulah realiti paling jujur yang terpaksa ditelan sebagai seorang ayah kepada anak autisme.

Dalam podcast Kita Kita Aje, pemilik nama sebenar, Wan Naqiuddin Mohd Najib, membuka sisi paling rapuh dalam dirinya apabila bercakap tentang anaknya, Alexander, yang memerlukan perhatian dan penjagaan sepanjang masa.

Tangisannya bukan dibuat-buat, tetapi lahir daripada kebimbangan yang sudah lama dipendam.

“Saya sebenarnya tak pernah ceritakan perkara ini kepada isteri. Saya takut dia terasa sebab dia yang jaga anak kami 24 jam.

"Dia yang paling banyak berkorban. Tapi dalam masa yang sama, saya sebagai ayah tak boleh lari daripada memikirkan… kalau satu hari nanti saya dan isteri dah tak ada, apa akan jadi pada anak kami,” luahnya panjang.

Selepas podcast itu disiarkan, Naqiu segera meminta maaf kepada isterinya. Namun jawapan yang diterima benar-benar menyentuh hati. Rupa-rupanya mereka berkongsi rasa yang sama.

image is not available

“Bila saya minta maaf, dia kata tak apa. Rupanya dia pun simpan perasaan yang sama, cuma dia takut saya pula terasa.

"Jadi, kami berdua sebenarnya fikir benda yang sama, cuma masing-masing diam sebab tak nak sakitkan hati pasangan,” katanya.

Dalam masa yang sama, juara program Gegar Vaganza musim keenam itu menjelaskan tujuan dia berkongsi bukan untuk meraih simpati, sebaliknya mahu membuka mata masyarakat yang masih kurang sensitif terhadap anak-anak autisme.

“Saya pernah kena situasi anak saya ambil makanan orang lain, lepas itu orang marah. Kami dah minta maaf dan cuba jelaskan keadaan dia, tapi ada yang tak nak terima.

"Pada mereka, benda itu boleh dikawal. Tapi hakikatnya, kita yang jaga dia hari-hari pun tak boleh jangka apa dia akan buat.

"Bila ‘angin’ dia datang, kita sendiri pun tak mampu hentikan,” jelasnya lagi.

Mengimbas kembali, Naqiu berkongsi bahawa tanda-tanda keistimewaan Alexander sudah mula dikesan sejak kecil, malah ada petunjuk fizikal pada telinga sejak lahir.

Walaupun pendengarannya normal, perkembangan dirinya agak perlahan.

“Dia mula berdiri umur empat tahun, berjalan umur lima tahun. Sampai sekarang umur 11 tahun, dia masih tak boleh bercakap.

"Kadang-kadang tengok adik dia yang baru dua tahun lagi petah bercakap, memang kita rasa… berat,” katanya jujur.

image is not available

Naqui berkata demikian ketika ditemu bual SinarPlus dalam majlis santai raya bersama media anjuran MindOrder.

Dalam majlis tersebut, para tetamu berpeluang mendengar lagu baharu dendangan penyanyi Iskandar Ismail dan Idayu bertajuk Mahal.

Turut hadir dan menghiburkan tetamu ialah Azmi Saat yang mendendangkan lagunya bertajuk Satu lagu ciptaan Naqiu dengan lirik tulisan Wit Mohsen.

Anak istimewa bukan beban

Ditebak akan persoalan pernahkah ada yang mengatakan anak istimewa itu adalah sebagai hukuman buat dirinya.

Tanpa berselindung, lelaki berusia 39 tahun itu mengakui pernah terdetik di hatinya persoalan tersebut.

image is not available

“Saya pernah fikir, adakah ini satu hukuman untuk saya. Itu jujur. Tapi bila saya tenangkan diri dan fikir balik, saya nampak dari sudut lain, mungkin ini bukan hukuman, tapi anugerah yang sangat besar.

"ALLAH bagi sesuatu yang bukan semua orang mampu pikul,” ungkapanya dalam nada positif.

Bagi Naqiu, anak istimewanya itu bukan beban, sebaliknya satu amanah yang akan sentiasa bersamanya.

“Anak macam ini, dia akan sentiasa dengan kita. Anak lain mungkin ada kehidupan sendiri nanti, tapi yang ini… dia akan teman kita sampai bila-bila.

"Jadi saya takkan sunyi. Itu sebenarnya satu anugerah yang sangat besar,” kata anak kelahiran Johor itu lagi.

Namun, sebagai manusia biasa, dia tidak menafikan keletihan yang datang silih berganti.

“Tipu kalau kita kata kita tak penat. Memang ada masa kita rasa lelah, sampai tertanya kenapa anak kita masih belum boleh bercakap.

"Pun begitu, setiap kali itu juga, kami akan pujuk diri, kalau kita susah sekarang, ganjaran kita nanti besar. Itu yang buat kami terus kuat,” kongsinya.

Naqiu juga mengakui sering bertemu ibu bapa lain yang melalui situasi sama, dan mereka berkongsi satu pegangan yang serupa, percaya bahawa setiap kesusahan ini datang bersama janji manis di kemudian hari.

“Kami selalu cakap sesama sendiri, mungkin susah sekarang… tapi kemanisan itu nanti akan kekal. Ganjaran itu yang buat kami terus bertahan,” katanya.

image is not available

Menjawab kritikan segelintir pihak yang menyifatkannya pentingkan diri, Naqiu tampil menjelaskan dari sudut seorang ayah yang benar-benar memahami keadaan anaknya.

“Kami tahu bukan mudah jaga dia. Kami tahu dia hanya dengar cakap kami. Jadi bila kami tak ada nanti, kami takut dia tak dijaga dengan baik walaupun orang tahu dia istimewa. Itu yang lebih menakutkan bagi kami,” katanya lagi.

Di penghujungnya, satu perkara yang jelas, ini bukan tentang memilih siapa pergi dahulu, tetapi tentang kasih sayang yang terlalu dalam hingga sanggup menanggung sakit demi memastikan insan yang disayangi tidak terus menderita.

Dan mungkin, tidak semua orang akan faham… tetapi bagi mereka yang melalui jalan yang sama, inilah bentuk cinta yang paling sunyi, namun paling kuat.