Anekdot Mawarith23/09/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com Sejak seminggu dua ini, kecoh dibincangkan dalam media sosial mengenai fi yang dikenakan bagi tujuan pengurusan harta pusaka. Ada pihak yang membawa doktrin bahawa fi sehingga puluhan ribu ringgit ini memang perlu dibayar oleh waris, sama ada daripada poket mereka sendiri atau ditolak daripada harta pusaka si mati.
Maka, terima sahajalah hakikat ini. Bayar sahaja, jangan banyak soal!
Saya sebenarnya telah banyak bercakap mengenai isu fi ini sejak puluhan tahun lalu. Urusan harta pusaka memang akan melibatkan kos, sama ada diuruskan sendiri oleh waris ataupun menggunakan perkhidmatan profesional pihak ketiga untuk membantu mereka melalui proses perundangan tersebut.
Berdasarkan pengalaman selama 28 tahun dalam industri ini sejak 1998, faktor kos memang merupakan antara penghalang kepada waris untuk bersegera menguruskan harta pusaka.
Waris sebenarnya memahami betapa pentingnya harta pusaka diuruskan secepat mungkin, baik dari segi hukum mahupun ekonomi. Namun, apabila mereka mengetahui bahawa sebelum urusan bermula, mereka perlu membayar fi pembukaan fail dan selepas urusan selesai pula terdapat fi pengurusan harta pusaka, fi guaman serta pelbagai fi lain, mereka menangguhkan hasrat tersebut.
Mahal sangat!
Analogi bayaran profesional
Semua perkhidmatan yang diberikan mestilah dibayar, terutamanya perkhidmatan profesional.
Sebagai analogi, jika kita meminta seorang arkitek merancang pembinaan rumah, sudah tentu kita perlu membayar sehingga puluhan ribu ringgit walaupun apa yang diberikan oleh arkitek itu secara harfiahnya hanyalah lakaran pelan di atas sekeping kertas.
Apa yang kita bayar bukanlah kos kertas tersebut. Kita membayar kepakaran dan pengalaman arkitek dalam merancang pembinaan rumah mengikut kehendak kita.
Arkitek profesional yang berdaftar dengan pihak berkuasa juga akan memastikan rumah yang dibina selamat untuk keluarga kita dan menepati segala peruntukan undang-undang.
Boleh sahaja kita yang tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pembinaan rumah melukis sendiri pelan rumah dan mula membinanya. Namun, hampir pasti rumah itu akan bermasalah dari sudut keselamatan, kesesuaian dan pematuhan undang-undang.
Akhirnya, kita sendiri yang terpaksa menanggung segala kos pembaikan dan risiko keselamatannya.
Kenapa perlu bayar fi pengurusan harta pusaka?
Begitu juga dengan pengurusan harta pusaka. Boleh sahaja waris menguruskannya sendiri, tetapi disebabkan kekangan masa, ketiadaan pengetahuan dan kurang pengalaman, proses tersebut berkemungkinan menjadi rumit serta tersangkut-sangkut.
Banyak kes sebegini yang saya temui. Maklumlah, bukan setiap hari ahli keluarga kita meninggal dunia.
Keadaan ini berbeza dengan syarikat amanah seperti Wasiyyah dan para peguam. Kami memang berhadapan dengan pelbagai kes pusaka setiap hari. Makan minum, tidur bangun kami setiap hari adalah dengan kes pusaka.
Kami mengetahui segala perkembangan semasa undang-undang pusaka, kes terbaharu, kaedah paling tepat untuk mengisi borang berkaitan serta setiap langkah dalam proses tuntutan harta pusaka, sama ada di Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil mahupun Mahkamah Tinggi Syariah.
Fi pengurusan harta pusaka yang dikenakan oleh pihak profesional bukanlah ditimbang berdasarkan berat atau banyaknya dokumen yang kami sediakan.
Sebaliknya, fi itu dibayar atas kapasiti kami sebagai pihak profesional berdaftar yang mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Syarikat Amanah 1949, selain pengalaman dan kepakaran dalam menguruskan harta pusaka.
Kenapa? Kerana pengetahuan, kepakaran dan pengalaman kami akan memudahkan waris menerima harta pusaka dengan cepat dan mudah.
Hakikat fi pengurusan harta pusaka di Malaysia
Daripada perbincangan di atas, masyarakat perlu memahami bahawa fi ini sememangnya diperuntukkan oleh undang-undang.
Seksyen 43 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97) memperuntukkan bahawa wasi atau pentadbir harta pusaka boleh menerima fi sehingga 5% daripada nilai kasar harta pusaka (gross estate value) bagi perkhidmatan mereka.
Fi ini tidak termasuk pelbagai fi sampingan lain yang mungkin dikenakan sepanjang proses pengurusan harta pusaka, seperti fi pembukaan fail, fi guaman, fi perjalanan, fi pemfailan dan fi lain.
Semakin panjang perbalahan dalam sesuatu kes pusaka, semakin tinggi semua fi tersebut.
Sebab itu saya tidak terperanjat apabila menemui kes yang jumlah finya mencecah ratusan ribu ringgit bagi harta pusaka yang nilainya tidak sampai RM1 juta.
Walaupun prinsip fi ini telah ditetapkan oleh undang-undang dan diterima sebagai amalan dalam industri, saya mahu pembaca memahami bahawa setiap kes pusaka adalah unik dan berbeza.
Ada kemungkinan dua kes yang masing-masing melibatkan harta pusaka bernilai RM1 juta dikenakan fi yang berbeza, bergantung pada tahap kerumitannya.
Apakah yang dimaksudkan dengan kerumitan itu? Perbalahan atau permuafakatan antara waris, kewujudan pemiutang, jenis portfolio aset dan lokasi aset merupakan antara faktor yang kerap saya temui.
Memang perlukah fi pengurusan harta pusaka dibayar?
Baik dari sudut hukum mahupun undang-undang, fi pengurusan harta pusaka memang wajib dibayar. Ia dianggap sebagai hutang atau liabiliti kepada harta pusaka dan oleh sebab itu, boleh ditolak daripada harta pusaka si mati.
Sebab itu ada pihak yang berkata: “Mahal bagaimanapun fi pengurusan harta pusaka, bayar sahajalah. Lagipun, ia ditolak daripada harta pusaka, bukannya keluar daripada poket waris.”
Saya memahami doktrin ini kerana sebagai orang lama dalam industri, saya tahu dan menerima bahawa amalan tersebut telah dilaksanakan sejak puluhan tahun lalu dan ia tidak salah.
Namun, saya melihat pengurusan harta pusaka bukan sahaja sebagai isu pembahagian harta. Dalam konteks yang lebih luas, ia merupakan wasilah kepada pencapaian Maqasid Syariah.
Masalah akan timbul jika si mati tidak meninggalkan wang tunai sebagai sebahagian daripada harta pusakanya. Si mati mungkin hanya meninggalkan hartanah atau wang tunai yang terlalu sedikit.
Dari manakah hendak dibayar fi pengurusan harta pusaka yang mencecah puluhan ribu ringgit itu?
Saya pernah menemui kes yang menyaksikan hartanah terpaksa dijual bagi membayar fi pengurusan harta pusaka. Saya mahu pembaca membuka fikiran dan hati untuk memikirkan perkara ini.
Jika hartanah pusaka terpaksa dijual semata-mata untuk membayar fi pengurusan harta pusaka, adakah hasrat pemilik harta yang berhempas pulas selama puluhan tahun mengumpulkan harta untuk warisnya akan tercapai?
Jika hartanah itu telah dijual, apakah yang masih tinggal untuk waris?
Isu harta pusaka bukan sekadar pembahagian
Di Malaysia, Wasiyyah sejak 22 tahun lalu telah berusaha keras mencari jalan untuk menangani isu fi pengurusan harta pusaka ini. Bukan untuk mencari keuntungan, tetapi untuk mencapai Maqasid Syariah.
Wasiyyah mahu urusan harta pusaka dapat dilaksanakan dengan lancar dan mudah. Bagi kami, ia bukan sekadar isu pembahagian harta, tetapi lebih besar daripada itu, iaitu pencapaian objektif Maqasid Syariah.
Berdasarkan punca kuasa Wasiyyah di bawah Akta Syarikat Amanah 1949, kami memperkenalkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka Al-Wasitah.
Apabila pelanggan perkhidmatan ini meninggal dunia kelak, segala urusan harta pusaka mereka akan diuruskan oleh Wasiyyah tanpa fi pengurusan harta pusaka.
Sekiranya harta pusaka yang ditinggalkan bernilai RM1 juta, maka RM1 juta itulah yang akan diterima oleh waris. Tiada sebarang potongan fi dikenakan.
Bukan perkara baharu
Model perkhidmatan ini bukanlah sesuatu yang baharu diperkenalkan. Hampir 30,000 pelanggan telah melanggannya dan hampir 800 keluarga telah menerima harta pusaka yang menjadi hak mereka secara percuma.
Menerusi perkhidmatan Al-Wasitah, Wasiyyah mencapai objektif Maqasid Syariah untuk memelihara agama kerana pengurusan harta pusaka mengikut kaedah Syariah akan dilihat sebagai mudah dan tidak rumit.
Perkhidmatan ini turut memelihara nyawa kerana harta pusaka yang diterima dengan cepat boleh dimanfaatkan bagi menjamin kelangsungan hidup waris yang berhak.
Ia juga memelihara akal kerana waris tidak mengalami tekanan akibat beban membayar fi pengurusan harta pusaka serta memelihara nasab keturunan kerana pengurusan pusaka yang dilakukan dengan cepat dapat mengelakkan timbulnya fitnah.
Pada masa sama, ia memelihara harta kerana harta pusaka yang diwariskan dengan cepat tanpa isu fi pengurusan boleh dilaburkan dan dikembangkan lagi oleh waris.
Jika anda sebagai ibu bapa yang menyayangi waris mempunyai pilihan untuk menyediakan kemudahan supaya mereka dapat menerima harta pusaka secara percuma, kenapa anda perlu membiarkan mereka menanggung fi puluhan ribu ringgit?
Pilihan di tangan anda. - DagangNews.com







