
MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan peluang untuk meneruskan kepemimpinan bagi penggal kedua sebagai Perdana Menteri supaya agenda reformasi dapat diteruskan khususnya dalam usaha membina struktur gaji yang lebih adil untuk pekerja.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kadar upah pekerja meningkat seiring dengan peningkatan produktiviti.
Beliau berkata, meskipun produktiviti bertambah, bahagian pendapatan yang dibawa pulang pekerja masih belum menunjukkan peningkatan sewajarnya.
“Setiap pekerja yang memberi kita makanan, yang menghidangkan kita, yang jaga kita sepanjang kongres, peratus gaji yang mereka bawa balik rumah, take-home salary adalah hanya 33 peratus.
“Ini berlaku walaupun produktiviti bertambah. Mana pekerja tak kecewa? Tak rasa bertambah. Maka penggal kedua nanti, biiznillah, membolehkan Datuk Seri Anwar meneruskan reformasi struktural.
“Mahu tidak mahu, kalau hendak pastikan peratusan naik, ia memerlukan dasar-dasar yang lebih mendalam khusus untuk membina struktur gaji yang lebih adil dan memastikan kadar upah meningkat selari dengan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Nurul Izzah berkata, pertumbuhan ekonomi yang lebih besar juga perlu disertai pengagihan yang adil supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
Katanya, pertumbuhan ekonomi bukan pengganti kepada keadilan pengagihan, sebaliknya kedua-duanya perlu bergerak seiring.
“Kek yang lebih besar, dia bagi kita lebih banyak ruang, termasuk kepada orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat untuk diagihkan buat semua. Tapi ia juga asas kepada kenaikan upah,” katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi juga perlu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan, selain membuka ruang yang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), wanita serta anak muda untuk menyertai ekonomi arus perdana.
“Bagaimana hendak pastikan rakyat feel good dia merasa bahawa semua ini berkesan?
“Kerana bila pekerjaan lebih banyak, ada maknanya, ada ruang untuk SME dan lebih banyak peluang untuk wanita dan anak-anak muda memasuki ekonomi arus perdana,” katanya. – UTUSAN
The post Beri peluang Anwar jadi PM penggal kedua – Nurul Izzah appeared first on Utusan Malaysia.






