‘Kalau filem ada wajib tayang, lagu tradisional perlu ada wajib siar’

LocalMusic
9 Sep 2026 • 10:08 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kalau filem ada wajib tayang, lagu tradisional perlu ada wajib siar’

PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencadangkan undang-undang wajib siar lagu-lagu tradisional dalam radio diwujudkan.

Menurut Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, sebagaimana undang-undang wajib tayang yang diwujudkan untuk industri perfileman, kaedah yang sama perlu diadaptasi untuk lagu-lagu tradisional.

“Kalau penggiat industri drama/filem ada undang-undang wajib tayang, saya mahu lagu-lagu tradisional ada undang-undang wajib siar kerana ini adalah lagu irama kita.

“Jika adanya undang-undang sebegini, ia akan membantu lagu-lagu Irama tradisional. Lebih ramai penggiat seni yang akan terbitkan lagu irama tradisional.

“Jika ada yang membuka ruang, pasti ramai yang akan ambil peluang,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan stesen radio Kool FM.

Ujar penyanyi nombor satu negara itu lagi, langkah berkenaan wajar dipertimbangkan oleh pihak berwajib sebagai salah satu mekanisme untuk memberi ruang lebih besar kepada muzik tradisional, khususnya karya yang mengetengahkan identiti dan budaya Malaysia.

Cadangan tersebut juga dilihat selari dengan usaha Siti sendiri dalam memperjuangkan irama tradisional sepanjang lebih tiga dekad berada dalam industri muzik.

Malah, penyanyi yang dinobatkan sebagai Biduanita Negara pada 2024 itu kembali mengangkat muzik tradisional menerusi album Gema Bumantara yang diterbitkan pada 2025.

Gema Bumantara juga bakal dipentaskan dalam sebuah konsert tradisional berskala besar yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober depan. –  KOSMO! ONLINE

The post ‘Kalau filem ada wajib tayang, lagu tradisional perlu ada wajib siar’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved