Keadilan bukan hanya untuk kes tular – Azalina

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 1:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keadilan bukan hanya untuk kes tular – Azalina

KUALA LUMPUR: Keadilan dalam siasatan kematian tidak boleh bergantung kepada sama ada sesuatu kes itu menjadi tular atau mendapat perhatian masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap kematian yang wajib dilaporkan perlu menerima tahap penelitian yang serupa dan sewajarnya.

Katanya, perkara itu perlu dilaksanakan tanpa mengira sama ada sesuatu kes mendapat perhatian seluruh negara atau hanya melibatkan sebuah keluarga.

“Prinsipnya mudah, keadilan tidak boleh bergantung kepada sama ada sesuatu kes itu menjadi tular sahaja.

“Setiap kematian yang wajib dilaporkan mesti menerima tahap penelitian yang serupa dan sewajarnya, sama ada ia mendapat perhatian seluruh negara ataupun hanya ditangisi oleh sebuah keluarga sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koroner di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Azalina berkata, siasatan kematian bukan sekadar membabitkan soal prosedur, sebaliknya menyentuh maruah manusia, hak keluarga untuk mengetahui kebenaran serta tanggungjawab negara.

“Apabila persoalan ini tidak dijawab dengan segera, bebas dan meyakinkan, kepiluan tersebut boleh bertukar menjadi perasaan marah serta menimbulkan keraguan yang akhirnya akan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara,” katanya.

Azalina turut merujuk beberapa kes, antaranya ialah kes Allahyarhamah Zara Qairina yang prosiding inkuesnya masih berjalan.

Beliau turut menyebut kes melibatkan Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, mendiang Teoh Beng Hock serta kes kematian dalam tahanan membabitkan mendiang A. Kugan dan S. Balamurugan.

“Nama-nama yang saya sebutkan ini bukanlah untuk menuding jari atau mencari salah sesiapa, sebaliknya ia menjadi peringatan penting kepada kita bahawa apabila timbul persoalan serius mengenai sesuatu kematian, masyarakat berhak kepada suatu proses yang bebas, terperinci dan diyakini,” katanya.

Azalina berkata, politik juga tidak seharusnya menjadi pertimbangan dalam perkara membabitkan kematian.

“Kematian tidak mengenal warna politik dan kesedihan sebuah keluarga tidak mempunyai ideologi.

“Undang-undang mungkin tidak dapat menjanjikan setiap keluarga jawapan yang mereka ingin dengar atau harapkan. Tetapi negara mesti menjamin sesuatu yang asas iaitu hak mereka untuk satu proses yang bebas, terperinci, berperikemanusiaan dan tuntas.

“Ini adalah tanggungjawab kerajaan kerana apabila satu nyawa berakhir dalam keadaan yang menimbulkan persoalan, tanggungjawab negara adalah memastikan adanya proses yang jelas, telus dan diyakini akan memberi kebenaran,” katanya. – UTUSAN

The post Keadilan bukan hanya untuk kes tular – Azalina appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved