Selain bola sepak, badminton, muzik irama Malaysia juga mampu menyatukan rakyat – Hafiz Hamidun

LocalMusic
31 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selain bola sepak, badminton, muzik irama Malaysia juga mampu menyatukan rakyat – Hafiz Hamidun

KUALA LUMPUR: Muzik Irama Malaysia bukan sekadar warisan seni yang perlu dipelihara, sebaliknya mempunyai kekuatan tersendiri sebagai medium untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun berkata, kekuatan muzik tradisional serta lagu-lagu yang berteraskan identiti tempatan mampu merentasi perbezaan kaum, agama dan latar belakang masyarakat.

Menurutnya, dalam keadaan masyarakat yang kini mudah berpecah akibat perbezaan pandangan, termasuk dalam isu politik, muzik dan sukan dilihat sebagai antara perkara yang masih mampu menyatukan rakyat.

“Saya rasa dalam keadaan sekarang ini, kadang-kadang kita melihat situasi politik dan apa yang berlaku di media sosial. Peminat bergaduh sana, bergaduh sini.

“Tetapi apabila kita bercakap mengenai lagu tradisional, lagu Irama Malaysia atau lagu sempena kemerdekaan, saya rasa ia mempunyai satu kekuatan yang berbeza.

“Di Malaysia ini, ada beberapa perkara yang boleh menyatukan rakyat. Antaranya badminton, bola sepak dan muzik. Mungkin kita boleh sebut lagu-lagu seperti Cindai, Hati Kama atau Keranamu Malaysia.

“Bagi saya, lagu patriotik dan lagu tradisional perlu terus kita angkat sebagai satu cara dan kaedah untuk menyatukan rakyat serta mengembalikan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Hafiz berkata, muzik Irama Malaysia perlu diberikan ruang lebih besar kerana genre itu bukan sahaja mencerminkan identiti dan akar budaya negara, malah berupaya menarik perhatian masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, seni mempunyai bahasa tersendiri yang tidak mengenal perbezaan, justeru mampu menjadi jambatan ketika masyarakat semakin terdedah kepada pelbagai isu yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Kadang-kadang kita terlalu banyak berdepan dengan perkara yang memecah-belahkan. Politik misalnya, boleh menyebabkan masyarakat berbeza pandangan dan akhirnya bergaduh sesama sendiri.

“Tetapi akhirnya, seni juga yang dapat menyatukan. Sukan juga yang dapat menyatukan. Sebab itu saya rasa kita perlu melihat bagaimana muzik, termasuk muzik Irama Malaysia, boleh menjadi ruang untuk rakyat kembali bersama.

“Apabila kita mendengar lagu yang dekat dengan jiwa dan budaya kita, kita tidak lagi melihat kepada siapa penyanyinya atau daripada kaum apa seseorang itu datang. Kita menikmati muzik dan rasa bangga dengan identiti negara sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz mengakui muzik Irama Malaysia juga mempunyai penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Menurutnya, lagu-lagu klasik dan karya penyanyi legenda negara telah lama membuktikan bahawa muzik yang mempunyai identiti tempatan mampu diterima secara meluas.

“Memang ada. Ramai sebenarnya. Kalau kita lihat pendengar yang bukan Melayu, ramai yang suka lagu-lagu P. Ramlee. Mereka juga menyukai lagu Sudirman seperti Balik Kampung.

“Lagu-lagu legenda ini ada daya tarikannya yang tersendiri. Sebab itu saya rasa muzik yang mempunyai identiti tempatan tidak sepatutnya dilihat hanya untuk satu kaum.

“Muzik itu sendiri boleh menjadi milik semua orang. Apabila sesebuah lagu itu bagus dan mempunyai jiwa, orang akan dengar tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Pada masa sama, Hafiz menyambut baik perkembangan industri muzik tempatan yang semakin terbuka dalam mengetengahkan elemen tradisional dalam karya-karya baharu.

Selain itu, Hafiz berkata, kemunculan penyanyi generasi baharu yang berani menyuntik unsur muzik tradisional ke dalam lagu moden membuktikan Irama Malaysia masih mempunyai tempat dalam kalangan pendengar hari ini.

“Sekarang ini saya lihat industri muzik Malaysia semakin baik dalam mengetengahkan elemen tradisional. Terutama apabila tiba musim perayaan, ramai penyanyi akan memasukkan unsur tradisional dalam lagu mereka.

“Bagi saya, itu satu perkembangan yang bagus kerana kita masih mempunyai akar budaya yang perlu dipertahankan. Tidak salah untuk menghasilkan karya moden, tetapi dalam masa sama kita juga boleh menyelitkan identiti muzik sendiri.

“Kalau orang semakin menyokong muzik yang mempunyai elemen tradisional, kita patut gunakan peluang itu untuk memberikan sesuatu yang positif kepada masyarakat,” katanya.

Hafiz turut menegaskan, penggiat seni perlu melihat kebangkitan semula muzik Irama Malaysia sebagai satu peluang untuk memperkenalkan warisan tempatan kepada generasi muda.

Katanya, tanggungjawab seorang komposer bukan hanya menghasilkan lagu yang sedap didengar, sebaliknya memastikan karya tersebut membawa nilai yang baik dan bermanfaat.

“Saya sebagai komposer, apabila menghasilkan lagu bersama penulis lirik, kita perlu fikir apa yang mahu disampaikan kepada masyarakat. Kita tidak mahu menghasilkan sesuatu yang sekadar ada untuk hiburan semata-mata tanpa memberikan apa-apa.

“Kalau kita mempunyai peluang untuk mengetengahkan muzik Irama Malaysia kepada generasi muda, gunakan peluang itu sebaik-baiknya. Berikan mereka karya yang bagus, yang sedap dan dalam masa sama mempunyai nilai.

“Bagi saya, itu lebih penting. Muzik Irama Malaysia bukan sekadar sesuatu yang perlu kita simpan sebagai warisan, tetapi perlu terus dihidupkan, dikembangkan dan dibawa kepada generasi baharu.

“Kalau seni dan muzik boleh menjadi medium untuk menyatukan rakyat, mengapa tidak kita gunakan sebaik mungkin?” katanya.

The post Selain bola sepak, badminton, muzik irama Malaysia juga mampu menyatukan rakyat – Hafiz Hamidun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved