
KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha, 42, berpandangan tidak wajar netizen mempersoalkan kredibiliti Raja Azura, 54, sebagai pengacara Kilauan Emas Selebriti.
Menurut Fasha, Raja Azura atau lebih mesra dengan panggilan Kak Engku berpengalaman dan bukan pertama kali mengacarakan rancangan seperti itu.
“Saya menonton kilauan Emas Selebriti. Sebagai penonton bersama pasukan, rasanya ada orang persoalkan pasal Kak Engku. Jujur cakap ini adalah hiburan. Cuma penerimaan kita bagaimana?
“Kalau jenis yang nak cari salah sahaja, memang jumpa la. Cuba hiburkan hati, kak Engku tu bukan sekali dua jadi pengacara ya. Dia bertaraf legenda.
“Bukan mudah nak mengacara siaran langsung. Pada saya dia memang hebat,” katanya menerusi Thread.
Konsert minggu pertama Kilauan Emas Selebriti yang berlangsung Sabtu lalu menjadi bualan hangat di media sosial apabila netizen menegur cara Raja Azura mengendalikan program tersebut yang didakwa tidak profesional dan berulang kali cuba memotong giliran rakan penyampai, Keanu Azman.
Dalam masa yang sama, Fasha turut mempertahankan pengacara Maria Tengku Sabri yang tersebut dikatakan menjawab ketika juri memberikan komen.
“Maria pula adalah penyeri rancangan, sama macam Odda dan cik B, penyeri. Dalam program realiti kena ada penyeri. Barulah ada warna,” katanya lagi.
Fasha dalam masa yang sama memaklumkan cukup terhibur dengan program berkenaan dan dalam masa sama mendoakan kejayaan peserta-peserta Kilauan Emas Selebriti.
“Untuk program ini kami keluarga Kasih Yang Terkorban bagi lima bintang.
“Percayalah, habis sahaja rancangan ini, peserta-peserta ini akan menjadi lebih besar, banyak peluang pekerjaan dan persembahan (hiburan, makan malam atau perkahwinan) membuka ruang juga untuk mereka teruskan berkarya. Tahniah semua yang terlibat,” ujarnya. – UTUSAN
The post Kalau jenis yang cari salah, memang jumpa – Fasha Sandha appeared first on Utusan Malaysia.






