Saya mencari solusi untuk ubat luka sendiri – Amyza Aznan

EntertainmentLifestyle
24 Aug 2026 • 2:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Saya mencari solusi untuk ubat luka sendiri – Amyza Aznan

Image from: Saya mencari solusi untuk ubat luka sendiri – Amyza Aznan

PETALING JAYA – Pelakon Amyza Aznan meminta orang ramai tidak mengecam keputusannya untuk menyertai program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26), beberapa bulan selepas pemergian anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail pada Februari lalu akibat kanser paru-paru.

Amyza, 50, berkata penyertaan tersebut adalah keputusan sendiri dan merupakan caranya untuk mengalihkan diri daripada terus dihantui rasa sedih dengan pelbagai dugaan yang dilaluinya, termasuk anak keduanya, Adrian Adam, 18, yang kini bertarung dengan kanser tulang.

“Saya sertai program ini sebab nak lari daripada semua perkara yang sedang dilalui.

“Saya mencari solusi untuk ubati luka sendiri, cari kekuatan terutama bila dapat jumpa dengan kawan-kawan walaupun ada yang cakap waktunya tidak sesuai.

“Ini semua untuk diri sendiri. Saya perlu keluar untuk bina semula benda-benda positif dan mencari kegembiraan. Sebab tenaga itu saya perlu sebarkan pada orang sakit di rumah,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, baru-baru ini.

Dia berharap khalayak dapat memahami situasi yang dilaluinya sekali gus menghentikan setiap kecaman dan persoalan yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya harap janganlah kecam dengan penyertaan ini walaupun ada yang cakap, ‘Anak kau baru meninggal dunia tetapi sudah masuk itu ini’.

“Semoga orang faham situasi saya sebagai seorang isteri dan ibu yang berdiri (berjuang) seorang diri.

“Dari mana saya nak dapat tenaga? Dengan cara macam inilah, keluar dan buat kerja,” tuturnya.

Dalam pada itu, dia berkata Adrian turut menyokong keputusannya untuk menyertai KES26 kerana mahu melihat dirinya kembali bertenaga.

“Adrian kata saya kena keluar, kami berkongsi tenaga. Kekuatan saya adalah dia dan kekuatan dia pula saya.

“Dia minta saya terima tawaran KES26 selepas dia nampak saya ada ‘goyang’ sikit, macam mula tak kuat untuk sokong dia.

“‘Mummy dapat tenaga baharu dan boleh kongsi dengan saya,’ dia cakap begitu dan sebab itu saya sertai KES26,” katanya lagi.

Berkongsi perkembangan kesihatan Adrian, dia memberitahu pergerakan anak keduanya itu semakin terbatas disebabkan tumor yang semakin membesar.

“Adrian sekarang macam bedridden (terlantar) jugalah sebab tumor semakin membesar, jadi agak sukar untuk dia keluar.

“Pergerakan dia terbatas, dia susah nak ke mana-mana sebab akan sakit.

“Jadi dia lebih memilih untuk duduk saja dalam bilik tanpa menyusahkan sesiapa selain tak mahu orang kasihan kepadanya,” ujarnya.

Pada Februari lalu, anak kedua Amyza itu disahkan menghidap kanser tulang dan sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Saya mencari solusi untuk ubat luka sendiri – Amyza Aznan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved