
PETALING JAYA – Tindakan segelintir individu melakukan aktiviti larian di jalan utama di Putrajaya mengundang teguran orang ramai berikutan terdapat segelintir mereka didakwa tidak mengendahkan soal nyawa dan keselamatan.
Menerusi hantaran pengguna Thread Qonsoi.inc, lelaki itu memuat naik gambar dua individu di Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 yang mana laluan berkenaan adalah untuk kenderaan.
“Peringatan mesra kepada para pelari. Anda dialu-alukan untuk berlari di mana-mana bahagian dan kawasan taman rekreasi di Putrajaya.
“Namun, sila elakkan bulatan utama Presint 1, jalan utama dan lebuh raya di Putrajaya. Tiada ‘pace’ yang berbaloi dengan risiko keselamatan,” katanya pada hantaran tersebut.
Lelaki itu berkata, kawasan itu turut dijadikan aktiviti larian oleh pelari terutama pada waktu malam.
“Jangan terkejut kalau tengah malam tiba-tiba ada orang muncul dari celah pokok-pokok tepi jalan tu berjoging ramai-ramai.
“Dah la lampu pun malap-malam kawasan bulatan tu. Kalau kena sodok tak pasal-pasal. Tolong, ini tidak selamat untuk berlari,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas termasuk ada yang menyarankan mereka menggunakan tempat khas untuk melakukan aktiviti tersebut.
“Dekat Putrajaya ni boleh tepi jalan utama semua ada pavement khas untuk joging, boleh je guna. Takdelah teruk mana, tapi kalau dah lalu jalan raya besar turunkan ego sikit lari je atas pavement. Setakat pace 5:30 tu boleh layan lagi daripada risikokan nyawa. Dah mati tak boleh hidup balik,” komen Official Monza.
“Ni memang nak mati namanya, lorong paling hujung tulah paling ramai seronok bawa laju,” kata Ffjj282f.
“Kat bulatan besar ni pun kau main atas jalan, melampau lah. Punya banyak trek berlari kat Putrajaya ni,” kata Amykrylk. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kalau kena sodok, tak pasal-pasal’ appeared first on Kosmo Digital.






