'Kalau kontraktor kata harga naik tinggi, beri bukti kepada DOSM' - Ahmad Mazlan

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 6:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kalau kontraktor kata harga naik tinggi, beri bukti kepada DOSM' - Ahmad Mazlan
Ahmad (tiga dari kiri) bersama Fadhlina (empat dari kanan) pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan di Pasir Puteh pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

PASIR PUTEH - Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan mempertimbangkan pelarasan harga atau Variation of Price (VOP) yang tinggi kepada kontraktor selagi tiada bukti kukuh menunjukkan kos bahan binaan benar-benar melonjak.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, permintaan VOP menjadi antara isu utama yang dibangkitkan persatuan kontraktor dalam dialog Belanjawan KKR baru-baru ini susulan dakwaan berlaku peningkatan ketara kos bahan binaan.

Beliau bagiamanapun memberitahu, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bertarikh 10 Ogos menunjukkan kebanyakan bahan binaan hanya mencatat kenaikan kecil dan harga secara keseluruhannya masih stabil.

"Kalau berdasarkan data DOSM, ada tiga barang yang kenaikannya tidak sampai satu peratus, manakala maksimum ada yang mencatat kenaikan sehingga 19 peratus.

"Contohnya simen, kenaikannya tidak sampai satu peratus. Jadi, majoriti bahan binaan sebenarnya menunjukkan kenaikan yang sedikit dan harganya stabil," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Ahmad memberitahu, KKR mengambil pendirian bahawa sebarang pertimbangan berkaitan VOP perlu dibuat secara adil dan berasaskan data rasmi, bukannya semata-mata dakwaan peningkatan kos.

Kata beliau, persatuan kontraktor termasuk Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia dan kontraktor Kelas F diminta mengemukakan maklum balas sekiranya mendapati statistik DOSM tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.

"Kalau mereka kata harga naik tinggi, beri bukti kepada DOSM. Kita minta mereka cabar data itu dengan bukti yang sah.

"Contohnya invois pembelian atau dokumen yang menunjukkan perbandingan kos bahan binaan sebelum dan selepas peningkatan harga tersebut. Biar DOSM semak," katanya.

Jelas beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tuntutan VOP tidak dibuat secara sewenang-wenangnya sehingga memberi implikasi kepada peruntukan kerajaan.

Sementara itu, katanya data DOSM sebelum ini menunjukkan pergerakan harga bahan binaan terpilih berubah mengikut bulan, dengan indeks dan harga purata bahan seperti besi keluli serta simen dipantau secara berkala.

"Selagi tidak ada data atau bukti yang sah menunjukkan kenaikan itu melambung tinggi, kita tidak boleh memberi pertimbangan atau meluluskan VOP yang tinggi.

"Keputusan mesti dibuat secara adil berdasarkan data rasmi DOSM," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved