
PASIR PUTEH: UMNO memilih untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal bagi memastikan pentadbiran negara kekal berfungsi dengan baik sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bertepatan dengan kenyataan presiden bahawa parti berkenaan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
“Saya hanya mengulangi pendirian Presiden UMNO yang telah ditegaskan dalam taklimat tertutup kepada Ahli Parlimen baru-baru ini bawah bahawa kita (Barisan Nasional) menyokong kerajaan ini hingga akhir penggal.
“Oleh itu, saya harap rakan-rakan di PKR hendaklah melihat tentang perkara ini. Jika UMNO keluar, kerajaan tidak stabil walaupun kami hanya ada 30 kerusi. Sekarang ini…kerusi kerajaan 150, kalau tolak 30, masih adalah 120 walaupun syarat untuk jadi kerajaan hanyalah 112 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu memberitahu, sebarang langkah UMNO keluar daripada kerajaan dikhuatiri menjejaskan kestabilan jika tindakan itu turut diikuti parti lain dari Sabah dan Sarawak.
Katanya, jika berlaku lebih banyak pergerakan keluar daripada kerajaan, kedudukan Kerajaan Perpaduan akan menjadi semakin tidak kukuh.
“Sebagai contoh, PKR sendiri dah tiga keluar, mungkin ada enam keluar, tolak lagi lagu. Mungkin sikit, mungkin sikit, jadi kerajaan tak akan jadi lebih kukuh, kerajaan akan jadi seperti telur di hujung tanduk akhirnya nanti,” ujarnya.
Mengulas dakwaan terdapat pimpinan UMNO cuba menyekat peruntukan kepada negeri pembangkang, Ahmad berkata, beliau tidak mahu membesar-besarkan isu berkenaan dan lebih mahu melihat kenyataan akhir Perdana Menteri mengenai Kerajaan Perpaduan yang masih menerima UMNO dan Barisan Nasional.
Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah menandatangani perjanjian dan pendirian parti untuk menyokong kerajaan sehingga akhir penggal turut diulangi Presiden UMNO.-UTUSAN
The post UMNO pilih hingga akhir penggal, mahu Kerajaan Perpaduan kekal berfungsi appeared first on Utusan Malaysia.






