“Kalau tak suka, kerja tempat lain” – Wanita Dakwa Pegawai Imigresen Bersikap Biadab Depan Pelanggan

Entertainment
20 Aug 2024 • 5:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Isu melibatkan perkhidmatan pelanggan nampaknya tidak berkesudahan apabila baru-baru ini tular dakwaan seorang wanita mengenai seorang pegawai yang bersikap biadab terhadap pelanggan depan orang ramai.

Menerusi pendedahan seorang wanita di TikTok, kejadian itu berlaku ketika dia menunggu di bahagian visa dan permit imigresen di Pejabat Imigresen Putrajaya pada 15 Ogos lalu.

Katanya, ketika dia menunggu giliran dalam barisan, dia melihat seorang pegawai imigresen yang bertugas di kaunter telah mengherdik dan meninggikan suara kepada dua wanita yang dipercayai berasal dari India.

Apa yang membuatkan dia berasa bengang melihat situasi itu apabila salah seorang daripadanya sedang menggendong bayi. Dia merasakan layanan pegawai itu adalah tidak wajar dan tampil menegur kelakuan buruknya.

“Saya perhati je puan tadi semasa saya beratur. Saya tengok puan ni cakap bukan main kasar lagi dengan orang. Sepatutnya puan dekat kaunter beri layanan kepada orang dengan rasa hormat.

“Tak kisahlah dia orang biasa ke imigran atau apa pun… dia manusia,” ujarnya.

Bagaimanapun, pegawai terbabit mempersoalkan tindakan wanita itu yang masuk campur dalam halnya selain menafikan dia tidak bercakap kasar terhadap dua pelanggan tadi.

image is not available

Wanita itu kemudian membalas respon dengan mengatakan pegawai terbabit seperti tidak menghormati orang lain.

“Sebagai penjawat awam, kamu seharusnya berkhidmat kepada orang ramai dengan hormat dan empati.

“Kalau kamu tidak suka, kamu sepatutnya pergi kerja di tempat lain,” tegurnya.

Bagaimanapun, pegawai tersebut sepertinya enggan menerima teguran itu dan cuba mempertahankan tindakannya dengan mendakwa terlalu ramai orang yang perlu dilayan pada setiap hari.

JIM buat siasatan

Susulan tular video itu, Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut.

“Kami akan ambil keterangan pegawai bertugas dan orang awam yang berada di bahagian berkenaan ketika kejadian itu berlaku.

“Tindakan itu bagi memastikan siasatan dikendalikan secara menyeluruh dan adil, selain mengesan sekiranya ada berlaku perlanggaran etika,” kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Jelasnya, setiap pegawai Imigresen yang bertugas di bahagian kaunter perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam melayan pelanggan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.