Kalau tidak boleh mansuh, tambah baik Tol Gombak

11 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kalau tidak boleh mansuh, tambah baik Tol Gombak

PENGGUNA Pantai Timur bakal menikmati perjalanan yang lebih selesa apabila melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menjelang 2030.

Pelancaran Projek Pelebaran Lebuhraya KLK serta Pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah menelan belanja kira-kira RM2.1 bilion yang diumumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) pada Ogos lalu nyata memberikan kelegaan kepada mobiliti penggunanya.

Penulis yang menggunakan laluan tersebut setiap bulan pulang ke kampung halaman di Pahang turut melihat kerja-kerjanya sudah bermula terutama di lokasi Terowong Ketiga Genting Sempah.

Menurut kenyataan dikeluarkan KKR pada Ogos lalu, projek tersebut melibatkan pelebaran jalan sepanjang 45.3 kilometer (km) bermula dari Plaza Tol Gombak (KM19.2) hingga Persimpangan Mempaga, Bentong (KM64.5).

Laluan sedia ada dinaik taraf daripada dua dan tiga lorong kepada tiga dan empat lorong bagi setiap hala. Projek turut merangkumi pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah sepanjang 999 meter menggunakan kaedah New Austrian Tunnelling Method (NATM).

Jelas kenyataan sama, pelaksanaan projek itu sangat kritikal memandangkan Lebuhraya KLK kini merekodkan purata lebih 135,000 kenderaan sehari, iaitu peningkatan melebihi tiga kali ganda berbanding 41,000 kenderaan sehari pada tahun 1997.

Kata KKR, peningkatan kapasiti laluan ini amat penting bagi memastikan lebuh raya utama tersebut dapat menampung pertumbuhan trafik masa hadapan serta menyokong sektor logistik, perdagangan, dan pelancongan.

Perkara yang wajar diperhalusi kerajaan adalah fenomena ‘bottleneck’ atau titik sempit di lebuh raya terutama di Plaza Tol Gombak.

Image from: Kalau tidak boleh mansuh, tambah baik Tol Gombak
GAMBAR fail pemandangan udara bertarikh 9 Julai 2022 di Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur yang sesak.

Sedikit sejarah ringkas, plaza tol berkenaan dibina bermula sekitar tahun 1977 bersama jajaran awal lebuh raya. ‘Pintu utama’ laluan keluar masuk dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur itu dirasmikan serta mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 1979.

Pengalaman penulis ‘tersangkut jem’ sebelum tol itu bukan main-main. Bayangkan jarak dari Terminal Bersepadu Gombak (TBG) ke plaza tol itu baru 2km tapi ‘terkena’ hingga 30 minit.

Gawat. Ini bukan berlaku ketika musim cuti raya. Ajaibnya selepas melalui palang tol, perjalanan terus lancar.

Pada 2024, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah mencadangkan di Parlimen agar kerajaan memansuhkan dua tol iaitu di Gombak dan Karak sebagai usaha mengurangkan kesesakan melampau.

Rakyat sendiri pun faham sebarang pemansuhan tol akan memberi beban tambahan kepada kerajaan bagi mendapatkan dana untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Namun, jika tidak dapat dimansuhkan, antara langkah-langkah yang boleh dipertimbangkan, dengan memperbaiki reka bentuk laluan sebelum dan selepas tol, mengawal kemasukan kenderaan dari laluan susur, menggunakan sistem pemantauan trafik masa nyata dan membuka lorong tambahan secara dinamik apabila trafik memuncak.

Amatlah tidak masuk akal, laluan empat lorong sehala yang bakal siap pada 2030 nanti sudah ‘cantik’, namun seksa tidak terbendung pula mahu lepas plaza tol. -KOSMO! ONLINE

The post Kalau tidak boleh mansuh, tambah baik Tol Gombak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved