Kalau tidak ‘rosak’, kenapa perlu tukar jurulatih?

FootballSports
27 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kalau tidak ‘rosak’, kenapa perlu tukar jurulatih?

PETALING JAYA: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe wajar diberi peluang mengendalikan skuad kebangsaan selepas mempamerkan rekod cemerlang dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kesinambungan kepemimpinan lebih wajar dipertimbangkan berbanding melantik jurulatih baharu, terutama apabila pendekatan sedia ada mula menunjukkan petanda positif.

Katanya, pemain yang sudah memahami corak latihan dan taktikal seseorang jurulatih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sekiranya berlaku pertukaran di bangku kejurulatihan.

“Corak yang diterapkan oleh Cheng Hoe menunjukkan hasil yang baik. Jadi, kenapa kita tidak teruskan dan meneruskan apa yang ada?

“Mungkin pemain-pemain yang sedia ada sudah selesa dengan Cheng Hoe. Kalau kita mengambil jurulatih luar, pemain perlu mengolah balik permainan mengikut apa yang dikehendaki jurulatih baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wan Jamak menegaskan, keputusan perlawanan tetap menjadi ukuran utama prestasi seseorang jurulatih, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)  juga perlu memberikan ruang dan kepercayaan untuk membina pasukan yang lebih mantap.

“Kepercayaan pengurusan kepada staf kejurulatihan itu penting. Kalau kita kalah, kemudian melihat keputusan dan terus membuang jurulatih, kita terpaksa bermula semula dari awal.

“Kita perlu melihat nilai yang ada dalam pasukan dan memperbaikinya, bukan hanya melihat kelemahan, tetapi juga kekuatan yang dimiliki,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Jamak tidak menolak keperluan mendapatkan kepakaran tambahan dalam aspek taktikal, termasuk melantik pakar sebagai penasihat tanpa perlu menukar jurulatih utama secara tergesa-gesa. – UTUSAN

The post Kalau tidak ‘rosak’, kenapa perlu tukar jurulatih? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved