
KEPUTUSAN ketua jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin untuk menggunakan bahagian tepi padang membantu pasukan itu merangkul kejuaraan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 menewaskan Pakistan.
Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan kemarau selama 15 tahun selepas kali terakhir memenangi kejohanan tersebut ketika edisi pertama yang berlangsung pada 2011.
Saiful Zaini berkata, beliau memilih bahagian tepi padang sebagai ‘laluan’ untuk melakukan serangan bagi mengehadkan peluang pasukan lawan merampas bola dan melancarkan serangan balas pantas.
“Untuk perlawanan menentang Pakistan, kita memang tahu mereka adalah ‘ball player’ dan pantas. Mereka hanya menunggu peluang untuk melakukan serangan balas pantas, jadi kita tutup bahagian tengah.
“Kita ambil keputusan untuk bermain menggunakan tepi padang kerana kita mungkin cepat kehilangan bola jika bermain di bahagian tengah dan membuka ruang kepada Pakistan untuk menyerang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada aksi final yang berlangsung malam kelmarin, Young Tigers memastikan trofi menjadi milik Malaysia apabila menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Tambah Saiful Zaini, pasukan negara menampilkan aksi cukup baik sehingga beberapa kali memasuki kawasan D Pakistan, namun bahagian serangan gagal memanfaatkan peluang terhidang dengan baik.
“Menerusi serangan yang dilakukan dari tepi padang, kita banyak kali dapat masuk ke kawasan D mereka, malangnya kita tidak dapat memanfaatkannya bagi melakukan lebih dua jaringan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menganggap pasukan yang sudah beraksi bersama selama enam bulan itu mula menunjukkan kematangan dan bermain sebagai satu pasukan selain faham dengan taktikal diterapkan.
The post SOJC: Percaturan bijak jerat Pakistan appeared first on Kosmo Online.






