
PETALING JAYA – “Kami sudah cuba semuanya, tetapi masih menanti maklumat.”
Itu luahan anak bongsu kepada seorang rakyat Malaysia, Krishnan Vadivelu, 74, yang masih gagal dihubungi selepas menyertai rombongan perjalanan ke Tibet yang berdepan situasi tidak menentu susulan banjir kilat di Nepal.
Anaknya, Subramaniam, 38, berkata, komunikasi terakhir dengan bapanya berlaku pada malam Selasa sebelum keluarga dimaklumkan bahawa kumpulan berkenaan berada di kawasan sempadan Nepal-Tibet pada pagi semalam.
“Pada pagi semalam, mereka beritahu kami bahawa mereka berada di peringkat Tibet. Selepas itu, kami tidak ada maklumat mengenai mereka.
“Kami sudah cuba hubungi mereka sejak semalam melalui WhatsApp, e-mel dan pelbagai cara lain, tetapi masih belum mendapat respons daripada mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Subramaniam, keluarga turut mengambil langkah menghubungi pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan perkembangan mengenai keadaan kumpulan terbabit.
“Kami sudah menghantar e-mel kepada pihak berkuasa Nepal dan mereka telah memberi maklum balas kepada kami.
“Mereka memaklumkan bahawa perkara ini sedang diberi perhatian dan dipantau dengan rapat. Jadi, kami kini menunggu maklumat selanjutnya daripada mereka,” katanya.
Katanya, keluarga juga sedang berusaha mendapatkan pegawai untuk dihubungi (PIC) seterusnya daripada agensi yang menguruskan perjalanan bapanya bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.
Subramaniam berkata, bapanya bersama sekumpulan rakyat Malaysia dipercayai berada di kawasan sempadan bagi menguruskan dokumen sebelum meneruskan perjalanan memasuki Tibet dan seterusnya China.
Katanya, keluarga peserta yang terlibat kini turut dikumpulkan dalam satu kumpulan komunikasi bagi berkongsi perkembangan dan maklumat berkaitan ahli keluarga masing-masing.
“Kami telah mengumpulkan keluarga semua peserta dalam satu kumpulan supaya kami tidak hanya fokus kepada apa yang berlaku kepada ayah saya.
“Kami mahu mendapatkan maklumat mengenai semua peserta lain yang turut berada dalam kumpulan berkenaan,” katanya.
Subramaniam berkata, kumpulan bapanya merupakan sebahagian daripada rombongan Kailash Yatra yang berlepas pada 23 Ogos dan dijadualkan pulang pada 5 September sebelum tiba di Malaysia pada 6 September.
Berdasarkan maklumat perjalanan, kumpulan berkenaan terdiri daripada 26 peserta, termasuk Krishnan, dengan kebanyakannya rakyat Malaysia berusia antara 32 hingga 74 tahun.
“Kami datang ke Kedutaan untuk mendapatkan bantuan dan menunggu perkembangan mengenai usaha mengesan mereka.
“Setakat ini, kami dimaklumkan terdapat lebih 50 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keluarga kini memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan keselamatan bapanya serta peserta lain yang turut terjejas.
“Saya cuma mahu maklumat penting ini disebarkan supaya lebih ramai mengetahui keadaan yang berlaku dan membantu mendapatkan perkembangan mengenai mereka,” katanya.
Difahamkan, kumpulan berkenaan mengikuti perjalanan Kailash August 2026 Batch anjuran kumpulan Pristine Himalayan Trekkers, dengan perjalanan berlangsung dari 23 Ogos hingga 5 September ini.
Antara ahli kumpulan yang disenaraikan ialah Suguna Balan, Eswary Mani Raj, Vanajah Vadival, Shalinny Deavy Elan Sozan, S. Ramu Sawasamy, Subramaniam Diraviam, S. Gomathi Sitoralingam, Vennila Muniandy, Saraswathi Nagratnam, Rajita Sivan, Poobalan Murgaya dan Nahentran Ganasan.
Selain itu, turut terlibat ialah Lingam Samykanoo, Krishnan Vadivelu, Mangala Vanan Krishnasamy, Malani M. Vellu, Kalaiselvi P. Narayanasamy, Komathi Rethinam, Poornima Alagappan, Kirubanithi Alagappan, Santhanaletchmy Tirugnanasambandam, Saratha Alagappan, Rajesvaran Ayyavoo, A. Ganesan Anandan, Brabaakaran Krishnan dan Navein Palani.
Subramaniam berkata, keluarga kini berharap sebarang perkembangan mengenai usaha mengesan kumpulan terbabit dapat diperoleh daripada pihak berkuasa Malaysia, Kedutaan Malaysia di Nepal dan pihak berkuasa Nepal.
The post ‘Kali terakhir dengar khabar, ayah di sempadan Nepal-Tibet’ appeared first on Kosmo Digital.





