“Kami Datang Untuk Bekerja” – Norish Karman Nafi Dakwaan Dapat RM200,000 Dari Ahli Perniagaan [Video]

LocalEntertainment
28 May 2026 • 5:42 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: “Kami Datang Untuk Bekerja” – Norish Karman Nafi Dakwaan Dapat RM200,000 Dari Ahli Perniagaan [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak belakangan ini, kecoh di media sosial isu melibatkan pelakon, Norish Karman bersama anak-anaknya.

Antara yang paling menjadi bualan adalah dakwaan yang menyatakan dia kononnya menerima wang berjumlah RM200,000 dalam satu aktiviti siaran langsung bersama seorang usahawan popular tanah air.

Norish Karman Jelas Dia Bekerja, Tepis Dakwaan Dapat RM200,000

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Norish dalam sedutan video audio siar (podcast) Mingguan Wanita di Threads tampil memberi penjelasan berhubung isu ini.

Jelas pelakon utama drama Spa Q itu, dia tidak menerima wang itu begitu sahaja sebaliknya datang untuk bekerja ketika sesi siaran langsung tersebut.

Kongsi Norish, tugasnya sebagai siaran langsung pada ketika itu adalah untuk menjual produk serta meraih komisen berdasarkan hasil jualan.

“Pertama, kami buat kedua-dua itu sebagai hos siaran langsung bermaksud bekerja. Ya, kalau tak faham saya ulang lagi sekali, bekerja. Bila bekerja, kami mendapat pendapatan dan gaji.

“Tugas utama adalah untuk menjual sebanyak mungkin produk yang ada. Kemudian akan ada potongan di sana sini, barulah dapat bahagian kami,” katanya dalam audio siar berkenaan.

Anggap Ahli Perniagaan Sebagai Seorang Bijak Kira Keuntungan

Menerusi sedutan video itu juga, Norish menjelaskan ahli perniagaan terbabit pastinya bijak dalam mengira keuntungan dan tidak semudah itu untuk memberi dia sekeluarga wang sebanyak RM200,000.

“Saya rasa ahli perniagaan itu, dia bukan orang bodoh. Takkanlah dia nak bagi saya macam itu sahaja RM200,000. Pastinya, untuk dia bagi saya RM200,000 satu malam, dia kena dapatkan RM1 juta. Baru boleh bagi RM200,000.

“Dalam keadaan bersiaran langsung hanya dua hingga tiga jam, tak adalah dapat banyak sangat sampai RM1 juta. Kalau bersiaran 24 jam, mungkin. Kita bersiaran dua, tiga jam sahaja, itu pun secara santai dan tidak keterlaluan.

“Jadi, kita tak ada dapat RM200,000, tidak juga dapat RM150,000, tidak juga RM50,000 dan tidak juga dapat separuh daripada jumlah itu,” terangnya.

Masih Guna Kereta Lama, Tepis Dakwaan Segelintir Pihak Ada Kereta Mewah

Pada masa yang sama, Norish menjelaskan dia sekeluarga masih menggunakan kereta yang lama yang kerap rosak.

Ini sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya mempunyai kereta mewah.

“Kami tidak ada kereta mahal. Boleh panggil saya, saya bawa kereta saya yang berbunyi ‘pang pung pang’ itu, tetapi saya okay dan tidak malu kerana saya tetap Norish Karman.

“Keluar kereta atau masuk kereta, saya tetap Norish Karman. Yang rosak itu kereta, bukan saya. Saya masih berfungsi, yang tidak berfungsi adalah kenderaan itu yang saya beli secara tunai ketika itu.

“Buat masa ini, saya masih memandu kereta rosak kami dan kami okay sahaja. Memang ada cita-cita nak tukar kereta sebab anak-anak makin tinggi dan besar, kereta yang ada ini sangat sempit,” jelasnya.

Norish Karman Mahu Yang Terbaik Untuk Anak-Anak

Jelas Norish, sama seperti ibu yang lain, dia mahu yang menyediakan yang terbaik untuk anak-anaknya.

“Saya juga ibu normal yang inginkan sesuatu yang terbaik untuk anak-anak saya.

“Yang utama, buat masa ini yang rosak, yang kami perlu guna hari-hari adalah kenderaan. Korang nak kami berniaga, macam mana kami nak berniaga kalau kereta kami rosak.

“Takkan saya nak ambil Grab, dah berapa semua dah. Kami dah cuba semua dah. Ada masa kereta kami rosak, ambil masa dua minggu, dua minggu kami berjalan kaki. Ke mana sahaja kami pergi, sebab apa? Grab mahal, jadi kita jalanlah.

“Kita bukan cerita untuk menagih simpati, kami cerita untuk memberi inspirasi bahawa hidup mesti diteruskan. Tidak mengapa kereta rosak, kaki masih okay untuk berjalan,” ceritanya lagi.

View on Threads