
Awal pagi tadi, The Vibes dan portal berita berbahasa Melayu kami, Getaran, diserang sehingga menyebabkan kedua-dua laman web tidak dapat diakses selama beberapa jam.
Tetapi kami sudah kembali.
Dan jika ada satu perkara yang serangan ini lakukan, ia hanyalah menguatkan lagi keazaman kami.
Kerana apabila ada pihak sanggup berbuat sedemikian rupa untuk menyerang kami, ini membuktikan satu perkata iaitu kami juga penting!
Kewartawanan sebenar yang jujur dan tidak menutup kebenaran adalah ancaman kepada mereka yang hidup subur atas perpecahan, ketakutan dan kejahilan.
Mereka lebih rela rakyat terus tidak mendapat maklumat daripada memberikan mereka kuasa untuk berfikir sendiri.
Namun, biar saya tegaskan satu perkara.
Pemikiran sempit tidak akan sesekali menentukan bagaimana kami menjalankan tugas dan tanggungjawab kewartawanan.
Kami tidak membina platform ini untuk menyenangkan hati mereka yang berkuasa, melindungi kepentingan tertentu atau menjadi ruang gema kepada sesiapa.
Kami membinanya kerana rakyat Malaysia berhak mendapatkan berita tanpa takut atau pilih kasih, pandangan yang mencabar pemikiran konvensional, serta perdebatan jujur yang menjadikan demokrasi kita lebih kukuh.
Kepada mereka yang bertanggungjawab, anda mungkin berjaya menjatuhkan laman web kami untuk beberapa jam.
Tetapi anda tidak berjaya mendiamkan walau satu suara pun.
Kepada para pembaca, kepercayaan dan sokongan berterusan anda mengingatkan kami mengapa kami melakukan apa yang kami lakukan.
Serangan ini menyedarkan kami bahawa apa yang kami lakukan memberi kesan.
Sokongan anda pula memberitahu kami bahawa kami melakukannya dengan betul.
Dan sejujurnya, itu sahaja yang penting bagi kami.
Kami akan memperkukuh pertahanan, menggandakan usaha dan terus menyuarakan kebenaran kepada mereka yang berkuasa, tidak kira siapa mereka.
Kami tidak akan gentar. Kami tidak akan dibeli dan kami sama sekali tidak akan disenyapkan.
Kerana tugas menyampaikan berita bukanlah untuk memastikan semua orang berasa selesa.
Ia adalah untuk memastikan semua orang terus mendapat maklumat.
Dan jika kebenaran membuatkan sesetengah pihak berasa tidak selesa, mungkin sudah tiba masanya mereka bertanya kepada diri sendiri, mengapa? - Getaran, 8 Oktober 2026





