Penemuan mayat lelaki dibungkus jaring, polis tahan tiga lelaki

4 Aug 2026 • 12:52 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penemuan mayat lelaki dibungkus jaring, polis tahan tiga lelaki

SHAH ALAM, 4 OGOS: Polis tidak menolak kemungkinan mayat lelaki yang ditemui dibungkus dan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat, semalam, adalah lelaki dilaporkan hilang bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata pengecaman awal dibuat waris terdekat berdasarkan pakaian serta barangan milik mangsa yang ditemui bersama mayat berkenaan, lapor Berita Harian.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan pita pelekat selain terdapat beberapa kesan luka di bahagian pinggang dan lengan. Mayat mangsa turut dibungkus serta dililit dengan jaring.

“Susulan penemuan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes yang dipercayai mempunyai unsur jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata, hasil semakan lanjut mendapati pada 29 Julai lalu, jam 10.09 malam, seorang wanita warga tempatn membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri, Johor.

Katanya, laporan berkenaan sebelum ini diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri pengurusan (orang hilang).

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan tiga lelaki di sekitar Batu Pahat.

"Semakan rekod jenayah lampau terhadap ketiga-tiga suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah. Polis turut merampas lima telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan," katanya.

Hoo berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada isu hutang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved