'Kami sangka keadaan walid tidak serius' - Anak mangsa

21 Aug 2026 • 2:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kami sangka keadaan walid tidak serius' - Anak mangsa
Waris dan rakan mangsa menunggu di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya pada Jumaat.
Image from: 'Kami sangka keadaan walid tidak serius' - Anak mangsa
Gambar tular memaparkan kejadian kemalangan maut dua penunggang basikal di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan, Putrajaya pada Khamis.

PUTRAJAYA - "Walid sempat usap kepala saya sebelum walid keluar pergi berbasikal,".

Itu luah remaja perempuan dikenali Dhia, 18, anak sulung penunggang basikal, Mohd Hilmi Tahar, 48, yang maut dilanggar kereta di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan di sini.

Menurut Dhia, kali terakhir dia berjumpa arwah bapanya kira-kira jam 9 malam Khamis.

"Walid tidak menunjukkan sebarang perubahan dan aktiviti berbasikal adalah hobinya sejak beberapa tahun lalu.

"Mummy dapat panggilan telefon yang memaklumkan kemalangan itu kira-kira 10.30 malam (Khamis) sebelum kami segera ke hospital. Saya cakap dengan mummy semua baik saja dan walid akan baik.

"Kami sangka keadaan walid tidak serius tapi apabila dimaklumkan keadaan sebenar, kami sangat sedih namun sebagai anak sulung saya cuba kuat untuk mummy dan adik," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya di sini pada Jumaat.

Dhia berkata, arwah bapanya seorang yang penyayang, mengambil berat, bertanggungjawab dan suka membantu.

**media[3621766]**

Tambahnya, bapanya yang juga merupakan kakitangan di syarikat insuran akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya.

Sementara itu, ibu mentua Mohd Hilmi, Rokiah Don, 70, berkata, dia sempat berjumpa dengan menantu sulungnya ketika datang menziarah di kediaman mereka pada Khamis.

"Saya merasa kehilangannya. Semalam saya pergi ke rumah mereka untuk hantar jam dan menantu (arwah) sempat salam saya sebelum keluar rumah," ujarnya.

Kemalangan kira-kira jam 10.15 malam, Khamis menyebabkan Mohd Hilmi serta seorang rakannya Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, maut di lokasi kejadian akibat parah di muka dan kepala selepas dilanggar sebuah kereta di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dipercayai mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum melanggar kedua-dua mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, kira-kira 20 ahli keluarga dan rakan kedua-dua mangsa hadir di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya sementara menunggu proses bedah siasat dijalankan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved