
KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini.
Kejadian berlaku selepas mangsa, Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, pulang ke kampung bersama bapanya yang datang untuk mendapatkan ubat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaidi Makmor, berkata mangsa pulang bersama bapanya, 40, yang menetap dan menjalankan perniagaan makanan di Muar.
Menurutnya, suspek turut mengikuti mereka ke Tanjung Sedili sebelum bertindak di luar jangkaan.
“Malangnya, suspek yang dipercayai mengalami masalah mental bertindak di luar jangkaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Muszaidi berkata beliau turut menziarahi bapa mangsa di Klinik Kesihatan Tanjung Sedili pada petang Isnin, selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga berkenaan.
“Semoga keluarga ini diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.
Sementara itu, nenek mangsa, Mahani, berkata keluarga mereka bersarapan bersama sebelum Puteri meminta izin untuk bermain di luar rumah.
“Puteri kemudian bermain di buaian. Selepas itu saya mula mencarinya dan bertanyakan kepada bapanya, namun dia juga tidak tahu di mana Puteri berada.
“Saya berasa tidak sedap hati lalu meminta menantu saya pergi ke sungai. Tidak lama kemudian, kami terlihat selipar Puteri di tebing sungai,” katanya.
Mahani berkata, mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan tertiarap di tebing sungai, kira-kira 300 meter dari rumah keluarga.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.
Katanya, suspek mencampakkan mangsa ke dalam sungai sebelum menjadi agresif, mengambil sebilah parang dan mengejar bapa mangsa. - Getaran, 22 September 2026






