Kanak-kanak 8 tahun maut, motosikal dibonceng bersama ibu bapa kemalangan

3 Jun 2026 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kanak-kanak 8 tahun maut, motosikal dibonceng bersama ibu bapa kemalangan
Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun selepas motosikal dinaiki bersama ibu bapanya terlibat kemalangan di Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: Polis KL
Image from: Kanak-kanak 8 tahun maut, motosikal dibonceng bersama ibu bapa kemalangan
Bapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kedua-dua kaki, manakala ibunya cedera pada tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
Image from: Kanak-kanak 8 tahun maut, motosikal dibonceng bersama ibu bapa kemalangan
Pihak sekolah menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, mangsa, Nur Inara Aisyah, anak kepada pasangan Shahrul dan Nuralsida, telah meninggal dunia pada Rabu.
Image from: Kanak-kanak 8 tahun maut, motosikal dibonceng bersama ibu bapa kemalangan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan tersebut.

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak maut selepas motosikal dinaiki bersama ibu bapanya terlibat kemalangan di Jalan Cheras di sini pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian pada jam 8.18 pagi itu melibatkan motosikal dinaiki mangsa jenis SYM Husky SE, Yamaha Y15ZR dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang lelaki bersama isteri berusia 35 tahun dan anak perempuannya berusia lapan tahun dipercayai telah mencelah di antara lorong kiri dan kanan semasa keadaan trafik sesak sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang Honda CR-V yang berada di lorong kanan.

**media[3540042]**

"Sebuah lagi motosikal Yamaha Y15ZR yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut sebelum terjatuh di atas jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan pembonceng iaitu kanak-kanak perempuan terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian pinggang serta kedua-dua belah kaki,manakala isterinya mengalami kecederaan tangan kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

**media[3540041]**

Tambahnya, pemandu Honda CR-V tidak mengalami kecederaan dan penunggang Yamaha Y15ZR iaitu lelaki berumur 47 tahun mengalami luka pada bahagian lutut kiri.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sekolah zahir takziah

Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Damai menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang murid Tahun Tiga sekolah itu yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew, di sini, pagi Rabu.

Pihak sekolah menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, mangsa, Nur Inara Aisyah, anak kepada pasangan Shahrul dan Nuralsida, telah meninggal dunia pada Rabu.

"Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Masjid Al-Mukhlisin.

"Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman serta para solihin," menurut hantaran tersebut.

**media[3540044]**

Pemergian murid berkenaan mengundang rasa sedih dalam kalangan warga sekolah dan orang ramai turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Pada Rabu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan tersebut.

Bapa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kedua-dua kaki, manakala ibunya cedera pada tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 35 tahun itu yang membonceng isteri serta anak perempuannya dipercayai mencelah antara lorong kiri dan kanan ketika trafik sesak sebelum hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah Honda CR-V di lorong kanan.

Beliau berkata, sebuah lagi motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum merempuh motosikal berkenaan dan terjatuh di atas jalan.

Akibat kejadian itu, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.