Kanak-kanak autisme perlukan empati

Health & FitnessFamily & Parenting
11 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kanak-kanak autisme perlukan empati

KEJADIAN seorang pelajar menikam rakannya di sebuah sekolah di Selangor baru-baru ini mengejutkan masyarakat.

Lebih menyedihkan, timbul laporan pelajar terbabit ialah seorang remaja autisme yang dipercayai telah lama menjadi mangsa buli. Namun, siasatan masih berjalan dan semua pihak perlu mengelakkan sebarang kesimpulan atau hukuman berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

Di sebalik tragedi ini, timbul persoalan yang lebih besar. Sejauh manakah kita benar-benar memahami kehidupan remaja autisme? Adakah mereka membesar dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan menghormati maruah mereka?

Ramai menganggap cabaran anak autisme berakhir selepas melalui intervensi awal dan berjaya mengikuti pendidikan arus perdana. Hakikatnya, fasa remaja sering menjadi tempoh paling mencabar. Ramai berusaha menyesuaikan diri dengan meniru tingkah laku rakan, mengawal reaksi dan menyembunyikan kesukaran agar diterima. Keadaan yang dikenali sebagai masking ini memerlukan kekuatan emosi yang besar walaupun tidak kelihatan pada pandangan orang lain.

Apabila tekanan tersebut disertai pengalaman dibuli, diejek atau dipulaukan, kesannya boleh menjadi lebih berat. Walaupun majoriti individu autisme bukan bersifat ganas, mereka jauh lebih kerap menjadi mangsa berbanding pelaku. Justeru, setiap remaja yang berdepan tekanan berpanjangan memerlukan sokongan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Tanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat bukan terletak pada ibu bapa atau sekolah semata-mata. Masyarakat juga perlu mendidik anak-anak agar menghormati perbezaan, memahami kepelbagaian cara berfikir serta menyantuni rakan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan empati dan rasa hormat. Nilai inilah yang membentuk masyarakat penyayang.

Pada masa sama, sokongan kepada remaja autisme tidak seharusnya terhenti selepas tamat intervensi awal.

Akses kepada perkhidmatan psikologi, kaunseling dan kesihatan mental perlu diperkukuh bagi membantu mereka mengurus emosi serta membina keyakinan diri ketika melangkah ke alam remaja dan dewasa.

Insiden ini wajar menjadi ruang muhasabah, bukannya alasan untuk menambah stigma terhadap individu autisme.

Jangan biarkan satu kes membentuk persepsi bahawa mereka berbahaya. Sebaliknya, jadikan peristiwa ini peringatan bahawa setiap anak, sama ada tipikal mahupun OKU, berhak membesar dalam persekitaran yang bebas daripada buli, dipenuhi kasih sayang dan saling menghormati. Itulah ukuran sebenar sebuah masyarakat yang matang dan berperikemanusiaan. –UTUSAN

DR. MAISARAH HASBULLAH
Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi,
Fakulti Sains, Universiti Malaya

The post Kanak-kanak autisme perlukan empati appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved