
PETALING JAYA – “Dia memang suka kereta polis dan polis. Kalau jumpa di jalan memang dia teruja terutama kereta polis, uniform dan bunyi siren.”
Demikian kata Hilmy Mohd Nor, 45, selepas impian anaknya, Hafiz, 4, yang menghidap leukemia untuk menaiki kereta peronda polis (MPV) tercapai apabila direalisasikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make A Wish hari ini.
Hilmy berkata, minat anak lelakinya terhadap anggota pasukan keselamatan itu sudah lama disedari keluarga, lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak tersebut melihat kenderaan polis.
“Kalau melihat anggota polis trafik terutamanya, memang dia teruja, inilah yang menjadi semangat dia untuk melawan kesakitan,” katanya ditemui selepas diraikan dalam program di IPD Petaling Jaya, di sini.
Turut hadir Penaung Diraja Make a Wish Malaysia, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Bercerita lanjut, Hilmy berkata, anaknya dikesan menghidap leukemia sejak Mac lalu. pada mulanya kanak-kanak itu disyaki menghidap denggi sebelum pemeriksaan mendapati dia menghidap leukemia.
Katanya, Hafiz menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan keadaan kesihatannya semakin baik selepas selesai menjalani kemoterapi.
“Doktor cakap keadaan Hafiz sudah semakin baik, cuma rawatan susulan masih berjalan. Kami sekeluarga sentiasa berada di sisi Hafiz sepanjang menjalani rawatan.
“Sebagai bapa, perkara utama yang dilakukan adalah bersabar ketika menjaga anak yang mendapatkan rawatan,” katanya.
Selain menaiki kenderaan polis, Hafiz turut menyaksikan demonstrasi tabik hormat dan perbarisan sebelum diberi peluang mengikuti rondaan singkat dengan menaiki MPV sebenar.
Kanak-kanak itu turut menerima sebuah kereta polis bersaiz kanak-kanak yang boleh dipandu sendiri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan berkata, setiap hasrat yang direalisasikan memberi peluang kepada kanak-kanak yang berdepan penyakit kritikal untuk melupakan seketika cabaran akibat penyakit mereka.
“Harapan kami, pengalaman ini dapat membantu Hafiz dan keluarganya membina ketabahan ketika meneruskan rawatan perubatannya,” katanya.
The post Kanak-kanak hidap leukemia teruja naik kereta polis appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Sibuk selamatkan dunia, mengaji tidak tinggal](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/superman-tular-viral-1024x826.jpeg)
![[VIDEO] Pemanduan ala GTA, kereta langgar ‘divider’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-24-at-1.51.45-PM-1-768x1024.jpeg)


