
ISKANDAR PUTERI: Kejadian serangan anjing liar terus berlaku di negeri ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang mengalami kecederaan parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Lima Kedai di sini, petang tadi.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama rakan-rakannya di taman permainan berhampiran flat perumahan murah di kawasan berkenaan, pada pukul 3 petang tadi.
Susulan insiden itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata, leher, kepala dan badan sehingga dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk.
“Langkah berkesan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, terutama membabitkan kanak-kanak yang menggunakan kemudahan awam di kawasan perumahan.
“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan segera untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Pada 5 September lalu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata seorang kanak-kanak perempuan cedera parah di keseluruhan badannya selepas diserang sekumpulan anjing liar.
Mangsa, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi mengalahkan kecederaan parah sehingga memerlukan pembedahan dilakukan khususnya di bahagian kepala.-UTUSAN
The post Kanak-kanak tujuh tahun cedera diserang sekumpulan anjing liar appeared first on Utusan Malaysia.






