
SIK – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan lori tanah di simpang 3 Jalan Kampung Kerawai, di sini petang tadi.
Kedua-dua pelajar berusia 15 dan 16 tahun itu dikatakan baru pulang dari sekolah ketika kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.40 petang.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari BBP Sik diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Soffuan Sabry bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah lori dipercayai melanggar motosikal dinaiki dua mangsa dari sisi kanan ketika lori itu hendak membelok ke kanan jalan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa masih berada di bawah lori dan memerlukan bantuan bomba untuk mengeluarkannya,” katanya di sini hari ini.
Mohd Jamil berkata, penunggang motosikal ditemukan di bawah lori, manakala pemboncengnya berada di bahu jalan dalam keadaan cedera pada tangan dan kaki.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
“Sementara itu, pembonceng motosikal diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar maut, rakan cedera nahas dengan lori tanah appeared first on Kosmo Online.






