Kanger gagal dapat lanjutan masa audit, saham berisiko digantung mulai 10 November 2026

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 9:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kanger gagal dapat lanjutan masa audit, saham berisiko digantung mulai 10 November 2026 Image from: Kanger gagal dapat lanjutan masa audit, saham berisiko digantung mulai 10 November 2026 liza29/10/2026 - 09:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt – Kanger International Bhd berdepan risiko penggantungan dagangan sahamnya di Bursa Malaysia mulai 10 November ini selepas Bursa Malaysia Securities menolak permohonan syarikat itu untuk melanjutkan tempoh penyerahan penyata kewangan interim yang diaudit sehingga 31 Disember 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata tarikh akhir penyerahan penyata kewangan interim yang diaudit bagi tempoh 21 bulan berakhir 30 Jun 2026 kekal pada 31 Oktober 2026, susulan keputusan Bursa Securities bertarikh 28 Oktober 2026.

 

Kanger sebelum ini memohon lanjutan masa pada 12 Oktober 2026 bagi mendapatkan tempoh tambahan untuk melengkapkan proses audit yang masih berjalan.

 

Kanger berkata kelewatan itu berpunca terutamanya daripada pertukaran juruaudit luar serta masa yang diperlukan juruaudit baharu untuk melengkapkan prosedur audit bagi tempoh pelaporan selama 21 bulan.

 

Pertukaran juruaudit punca kelewatan

Juruaudit terdahulu, SBY Partners PLT, meletakkan jawatan sebelum Kanger melantik Morison LC PLT sebagai juruaudit baharu pada 4 September 2026.

 

Selepas menerima arahan Bursa Securities pada 18 Ogos 2026 supaya penyata kewangan interim yang diaudit diterbitkan selewat-lewatnya pada 31 Oktober, Kanger memaklumkan Morison mengenai keperluan itu dan menyerahkan salinan arahan berkenaan kepada juruaudit baharu.

 

Bagaimanapun, Morison memaklumkan penyelesaian audit menjelang tarikh akhir itu sukar dicapai, mengambil kira skop kerja bagi tempoh pelaporan yang lebih panjang serta prosedur audit substantif yang masih belum selesai.

 

Kanger kemudiannya memohon lanjutan masa sehingga 31 Disember 2026 berdasarkan penilaian profesional Morison, namun permohonan itu tidak diluluskan Bursa Securities.

 

Dagangan saham dijadual digantung 10 November

Menurut Kanger, kegagalan menerbitkan penyata kewangan interim yang diaudit dalam tempoh lima hari pasaran selepas tarikh akhir 31 Oktober akan menyebabkan dagangan sekuriti syarikat digantung pada hari pasaran berikutnya.

 

Tempoh lima hari pasaran itu berakhir pada 6 November 2026. Memandangkan 9 November merupakan cuti umum sempena Deepavali, penggantungan dagangan dijadual berkuat kuasa pada 10 November 2026, jam 9 pagi, melainkan ditentukan sebaliknya oleh Bursa Securities.

 

Kanger berkata penggantungan itu akan ditarik balik pada hari pasaran berikutnya selepas penyata kewangan interim yang diaudit diterbitkan, melainkan Bursa Securities menentukan sebaliknya.

 

Lembaga pengarah mengakui kemungkinan tindakan kawal selia susulan kelewatan itu dan berkata syarikat akan terus mengambil langkah yang diperlukan bagi mempercepatkan penerbitan penyata kewangan berkenaan.

 

Audit dijangka selesai menjelang akhir Disember

Bagi memastikan proses audit diselesaikan, pengurusan dan kakitangan kewangan Kanger akan terus bekerjasama dengan Morison untuk menyediakan rekod perakaunan, maklumat kewangan, dokumen sokongan serta penjelasan yang diperlukan.

 

Syarikat itu juga akan mengutamakan penyelesaian pertanyaan audit dan perkara tertunggak yang dikenal pasti juruaudit, selain memantau perkembangan kerja serta menyelaras prosedur audit yang masih belum selesai.

 

Berdasarkan penilaian bertulis Morison bertarikh 8 Oktober 2026, proses audit itu dijangka selesai menjelang 31 Disember 2026.

 

Kanger berkata pihaknya akan berusaha mempercepatkan proses berkenaan dan menerbitkan penyata kewangan interim yang diaudit lebih awal sekiranya dapat dilaksanakan.

 

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa keputusan kewangan suku tahunan yang belum diaudit terus diumumkan mengikut keperluan pelaporan yang berkuat kuasa bagi menyediakan perkembangan berkala mengenai prestasi kewangan kumpulan kepada pemegang saham dan pelabur.

 

Kanger berkata sebarang perkembangan penting berkaitan kemajuan serta penerbitan penyata kewangan interim yang diaudit akan diumumkan kepada Bursa Securities dan pemegang saham selaras dengan keperluan penyenaraian Pasaran ACE. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved