liza29/10/2026 - 18:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt – RT Pastry Holdings Bhd merancang membeli dua lot tanah perindustrian di Seri Kembangan, Selangor pada harga RM22 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran pastri dan produk lain kepada 2.8 juta unit setahun, berbanding 2.55 juta unit ketika ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata cadangan pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, RT Pastry House Sdn Bhd yang memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Koh Lean Chong & Sons (M) Sdn Bhd.
“Pemerolehan itu merupakan sebahagian daripada perancangan dan strategi perniagaan kumpulan untuk menampung pertumbuhan operasi pada masa depan, selain menyediakan ruang lebih luas bagi aktiviti pembuatan dan penyimpanan.
“Dua hartanah berkenaan terletak di Taman Perindustrian Putra Permai, Seri Kembangan dan merangkumi tanah perindustrian yang mempunyai kilang satu tingkat serta bangunan tambahan pejabat tiga tingkat, selain satu lot tanah perindustrian kosong yang bersebelahan,” katanya.
Penilaian bebas oleh Laurelcap Sdn Bhd menetapkan nilai pasaran kedua-dua hartanah itu pada RM22 juta, bersamaan harga pembelian yang dipersetujui, masing-masing RM18 juta bagi hartanah yang mempunyai bangunan dan RM4 juta bagi tanah kosong.
Kapasiti pengeluaran meningkat 9.8%
RT Pastry berkata ruang terhad di kilang sedia ada di Seri Kembangan telah mengekang keupayaan kumpulan untuk mengoptimumkan aliran kerja pembuatan, menyediakan persekitaran kerja lebih selesa serta memasang mesin dan peralatan tambahan.
Ruang penyimpanan di kilang berkenaan juga mencatatkan kadar penggunaan antara 96.06% hingga 98.64% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga 2025, menyebabkan kumpulan menyewa ruang penyimpanan tambahan sejak 16 Mei 2026.
Menerusi premis baharu itu, kumpulan merancang menempatkan kawasan pembuatan yang lebih luas, ruang penyimpanan dengan sistem rak tersusun serta pejabat untuk kakitangan pengurusan dan pentadbiran.
Premis itu turut menempatkan empat ketuhar dek tambahan dan enam mesin pengadun tambahan yang akan dibiayai menggunakan dana dalaman, selain mesin serta peralatan baharu yang diperuntukkan daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) syarikat.
Dengan ruang dan peralatan tambahan, kapasiti pengeluaran tahunan bagi pastri dan produk buatan lain dijangka meningkat daripada kira-kira 2.55 juta unit kepada 2.8 juta unit, iaitu pertambahan sekitar 250,000 unit atau 9.8%.
Menurut syarikat itu, peningkatan kapasiti berkenaan akan menyokong rancangan pengembangan rangkaian cawangannya.
Sambungan kilang libatkan kos RM7.2 juta
Selain membeli hartanah berkenaan, RT Pastry merancang membina sambungan pada tanah kosong yang dibeli bagi menambah keluasan premis dan meningkatkan skala operasi pembuatan.
Kos pembinaan sambungan itu dianggarkan RM7.2 juta, dengan kumpulan menyasarkan kerja berkenaan selesai pada suku pertama 2029. Pelan bangunan dan pelantikan arkitek serta kontraktor masih perlu dimuktamadkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Bagi fasa awal, operasi di premis baharu dijangka bermula pada suku kedua 2027 selepas urusan pemindahan hak milik, kerja pengubahsuaian kecil, pemasangan peralatan serta kelulusan dan lesen berkaitan diselesaikan.
Kumpulan merancang menjalankan operasi di premis baharu serentak dengan kilang sedia ada sementara menunggu sambungan bangunan siap. Pemindahan penuh operasi dari kilang lama dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2029.
Pembiayaan bank RM28.78 juta
Bagi membiayai cadangan pengambilalihan, RT Pastry House menerima tawaran kemudahan perbankan daripada RHB Islamic Bank Bhd berjumlah RM28.78 juta.
Daripada jumlah itu, pembiayaan bertempoh RM19.8 juta akan digunakan untuk membiayai 90% harga pembelian hartanah, manakala baki RM2.2 juta atau 10% akan dibiayai menggunakan dana dalaman kumpulan.
Kemudahan lain yang ditawarkan merangkumi pembiayaan bertempoh RM6.48 juta bagi membiayai sebahagian kos pembinaan sambungan, kemudahan perdagangan Islam RM2 juta serta kemudahan kontrak pertukaran asing Islam RM500,000.
Selain itu, kumpulan menganggarkan kos tambahan RM4 juta selepas pengambilalihan selesai, merangkumi RM3 juta bagi pengubahsuaian dan pemasangan kelengkapan premis baharu serta RM1 juta untuk pemasangan sistem rawatan efluen industri bagi merawat air sisa daripada operasi pembuatan.
RT Pastry menjangkakan pemindahan pejabat utama ke premis baharu serta penamatan sewaan pejabat dan ruang penyimpanan sedia ada akan menjimatkan perbelanjaan sewa kira-kira RM160,000 setahun.
Bagaimanapun, cadangan pengambilalihan hartanah itu masih tertakluk kepada syarat perjanjian jual beli, termasuk kelulusan pemegang saham syarikat melalui mesyuarat agung luar biasa serta kebenaran pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com




