sarah29/10/2026 - 18:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Zetrix AI Berhad menyaksikan peletakan jawatan tiga pengarah bebas bukan eksekutif sepanjang Oktober 2026, dengan pengunduran terbaharu Mohaini Mohd Yusof hari ini, ketika syarikat teknologi itu berdepan isu kemungkinan pelanggaran syarat program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM2 bilion.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Mohaini, 60, meletakkan jawatan berkuat kuasa 29 Oktober atas alasan komitmen peribadi, tanpa sebarang perselisihan dengan lembaga pengarah atau perkara yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham.
Pada hari sama, Dato’ Othman Semail, 65, turut meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Audit dan Pengerusi Jawatankuasa Risiko syarikat.
Susulan perubahan itu, Zetrix AI melaporkan komposisi Jawatankuasa Audit sebagai kosong, manakala Jawatankuasa Risiko kini hanya dianggotai Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah, seorang pengarah bukan eksekutif bukan bebas.
Syarikat memaklumkan bahawa langkah sewajarnya akan diambil untuk melantik pengarah baharu bagi mengisi kekosongan tersebut.
Sebelum ini, Wong Kok Chau, 57, meletakkan jawatan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif pada 26 Oktober atas alasan komitmen peribadi, selain melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit dan ahli Jawatankuasa Risiko.
Pada 12 Oktober pula, Dato’ Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, 69, turut meletakkan jawatan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif serta mengundurkan diri daripada Jawatankuasa Pencalonan dan Jawatankuasa Imbuhan.
Isu sukuk RM2 bilion masih belum selesai
Perubahan dalam barisan pengarah dan jawatankuasa itu berlaku ketika Zetrix AI berdepan kemungkinan pelanggaran syarat program Sukuk Wakalah bernilai nominal sehingga RM2 bilion.
Pada 16 Oktober lalu, syarikat memaklumkan bahawa pegangan saham langsung dan tidak langsung pengarah urusannya, Wong Thean Soon, menyusut kepada 1.895% susulan penjualan paksa saham oleh bank, menyebabkan beliau tidak lagi memenuhi syarat sebagai pemegang saham tunggal terbesar di bawah perjanjian sukuk berkenaan.
Mesyuarat pemegang sukuk pada 23 Oktober kemudian gagal mencapai sebarang keputusan, menyebabkan Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut sama ada peristiwa pembubaran atau kemungkiran telah berlaku serta kemungkinan syarikat perlu membayar balik keseluruhan sukuk tertunggak dengan segera.
Bagaimanapun, pengumuman yang diberikan tidak mengesahkan bahawa peletakan jawatan pengarah mempunyai kaitan langsung dengan isu sukuk tersebut.- DagangNews.com






