johardy26/11/2026 - 08:15 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tertangguh lagi, menambah satu lagi kelewatan kepada projek pembinaan lima kapal yang sudah beberapa kali mengalami penundaan.
Kelewatan terbaharu itu menyusuli penangguhan penyerahan kapal pertama, yang sebelum ini dijadualkan pada akhir 2026 dan kini hanya dijangka diserahkan pada April 2027.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata kapal kedua masih dijangka diserahkan pada 2027, dengan jadual baharu akan dimaklumkan secara bertulis.
“LCS kedua akan mempunyai jadual baharu. (Jangkaan tarikh penyerahan) masih pada tahun hadapan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Adly berkata penangguhan itu tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal ketiga, keempat dan kelima.
Pemasangan paip tidak menepati spesifikasi
Menurut Adly, jadual penyerahan dua kapal pertama terpaksa disemak selepas pemasangan paip didapati tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan.
Beliau berkata empat bulan diperlukan untuk memastikan pemasangan itu mematuhi spesifikasi, sekali gus menyebabkan penyerahan kapal pertama berganjak dari akhir tahun ini ke April 2027.
Adly menegaskan Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi mengenai pematuhan spesifikasi meskipun projek itu berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata kementerian itu, selaku pengguna akhir, bekerjasama dengan Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab terhadap pembinaan kapal di bawah Lumut Naval Shipyard (LUNAS) bagi memastikan projek berkenaan disiapkan.
ARTIKEL BERKAITAN: LUNAS boleh beri alasan panjang-panjang tetapi kapal LCS bila hendak siap?
Adly berkata projek LCS melibatkan hampir 400 vendor, mencerminkan sumbangan industri pertahanan tempatan kepada ekonomi dan peluang pekerjaan.
Katanya, syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan, pembuatan komponen elektronik dan teknologi akan digalakkan menyertai rantaian bekalan pertahanan menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara. — DagangNews.com





