
KUALA LUMPUR - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membawa satu mesej politik yang amat jelas iaitu parti Bersatu kini sudah tidak relevan dan menyaksikan ‘kapal’ parti itu semakin karam serta hilang arah tujuan.
Naib Presiden Parti Wawasan, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sudah tiba masanya kepada mereka yang berada di dalam Bersatu untuk membuat keputusan berani dan bergerak bersama Wawasan.
“Kepada rakan-rakan serta sahabat di dalam Bersatu, pintu kita sentiasa terbuka, tiba masanya untuk anda membuat keputusan berani - marilah bergerak bersama Parti Wawasan Negara.
“Jangan biarkan perjuangan anda tenggelam bersama kapal yang sedang sarat dimasuki air
“Masa depan politik tanah air memerlukan wadah baharu yang lebih stabil dan berwawasan,’’ katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam keputusan PRN Negeri Sembilan semalam, empat parti termasuk Bersatu gagal menempatkan wakil dalam DUN selepas kesemua calon mereka tewas.
Selain Bersatu, Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga tidak berjaya memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.
Bersatu yang bertanding menggunakan logo sendiri di 24 daripada 36 kerusi DUN bukan sahaja tidak mencatat sebarang kemenangan, malah kehilangan DUN Labu yang dimenangi pada PRN ke-15.
Dalam pada itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, isyarat rakyat di Johor dan Negeri Sembilan cukup terang malah gelombang perpaduan biru itu tidak akan terhenti dan bersedia untuk berdepan pilihan raya negeri di Melaka.
“Kepada DAP, terima kasih atas persaingan ‘good luck’ saya ucapkan untuk pertarungan seterusnya di Melaka kelak,’’ katanya. - 2 Ogos, 2026
The post ‘Kapal semakin karam’ Wan Saiful pelawa ahli Bersatu sertai Wawasan appeared first on Scoop.





![[TIDAK RASMI] PRN Negeri Sembilan: Kejayaan sulung parti Hamzah, Wawasan menang tiga kerusi](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/01/3602477.webp)
