
PETALING JAYA: Kapal tangki MT Global 168 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Selat Melaka pada 1 Oktober lalu, disahkan dimiliki oleh sebuah syarikat perkapalan tempatan.
Bagaimanapun, Jabatan Laut Malaysia (JLM) menjelaskan bahawa pemilikan sesebuah kapal oleh syarikat tempatan tidak secara automatik menjadikan pengangkutan laut itu berdaftar di Malaysia.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan, kapal tangki itu merupakan kapal asing yang berdaftar di Mongolia dan beroperasi di bawah bendera negara berkeaan.
“Dalam hal ini, MT Global 168 kekal berstatus kapal berbendera Mongolia berdasarkan pendaftaran rasminya.
“JLM sentiasa komited untuk memastikan setiap urusan berkaitan pendaftaran kapal dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang dan peraturan maritim yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa kapal tangki berkenaan dimiliki oleh syarikat tempatan yang berpangkalan di Johor.
Katanya, syarikat itu mempunyai dua pengarah warga tempatan berusia lingkungan 40-an dan 50-an.
Kapal berkenaan pernah memohon pendaftaran di bawah bendera Malaysia namun belum didaftarkan dan masih menggunakan bendera Mongolia.
Baru-baru ini, media Indonesia melaporkan, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto memaklumkan kapal terbabit berlepas dari lokasi penyelenggaraan di Pasir Gudang, Johor, pada September lalu.
Kapal berkenaan kemudian singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bekalan air dan bahan api sebelum meneruskan pelayaran ke Laut Andaman, Thailand.
Suyudi dilaporkan berkata, kapal itu dipercayai menerima muatan ketamin melalui pemindahan barang antara kapal di Laut Andaman.
Pihak berkuasa Indonesia turut mengesan kapal berkenaan mematikan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) selama tiga hari 17 jam ketika berada di perairan berkenaan.
Selasa lalu, pasukan penguat kuasa Indonesia memintas kapal berkenaan di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara, sebelum membawanya ke Pelabuhan Belawan.
Pemeriksaan menemukan 58 guni mengandungi 1,160 bungkusan ketamin hidroklorida seberat kira-kira 1.16 tan yang dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah (RM785 juta).
Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan lapan kru kapal, terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan. – UTUSAN
The post Kapal tangki bawa dadah sah milik syarikat kapal Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.




