Kes kapal tangki bawa 1.16 tan ketamin: Pengarah syarikat antara dua individu ditahan

27 Oct 2026 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes kapal tangki bawa 1.16 tan ketamin: Pengarah syarikat antara dua individu ditahan
Hussien

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan termasuk pengarah syarikat pemilik asal kapal tangki MT Global 168 ditahan susulan rampasan 1.16 tan ketamin oleh pihak berkuasa Indonesia, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua lelaki berusia 45 dan 44 tahun itu ditahan di Johor Bahru, Ahad lalu.

"Lelaki berusia 45 tahun adalah pengarah syarikat pemilik asal kapal tangki MT Global 168, manakala lelaki berusia 44 tahun ejen atau broker penjualan kapal berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hussien berkata, siasatan awal mendapati kapal itu dibeli April lalu untuk dijual semula selepas kerja penambaikan bagi mendapatkan keuntungan.

"Kapal MT Global 168 dijual kepada sebuah syarikat beralamat di Yangon, Myanmar pada 28 Jun lalu melalui ejen," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki direman tujuh hari bermula semalam hingga 1 November ini bagi membantu siasatan.

"Siasatan turut mengenal pasti tiga individu lain dipercayai warga Singapura, Taiwan dan Myanmar yang dikehendaki bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, tiga individu dikehendaki itu dipercayai terbabit dalam urusan penjualan kapal tangki terbabit.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Hussien berkata, JSJN akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam perkongsian maklumat risikan, pengesanan individu yang disyaki mempunyai kaitan serta tindakan susulan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Pada 24 Oktober lalu, Hussein mengesahkan kapal tangki MT Global 168 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bersama 1.16 tan ketamin dimiliki syarikat berdaftar di Malaysia yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor.

Kapal yang mengibarkan bendera Mongolia itu ditahan pada 20 Oktober lalu di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara, dengan rampasan 1,160 bungkusan ketamin seberat 1.16 tan ditemukan dalam 58 guni.

Kapal berkenaan dipercayai berlepas dari Pasir Gudang sebelum singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan api untuk belayar menuju Laut Andaman.

Pada 20 Oktober lalu, pihak berkuasa Indonesia menahan kapal tangki MT Global 168 di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara, sebelum menemukan ketamin seberat 1.16 tan.

Ketua Polis Negara Indonesia Jeneral Suyudi Ario Seto dilaporkan berkata, rampasan itu dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah (kira-kira RM785 juta), dengan lapan anak kapal turut ditahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved