Kapasiti penggunaan industri pembuatan Malaysia susut kepada 78.2% dalam suku kedua 2023 – DOSM
diyana
30/08/2023 - 14:25
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Industri pembuatan beroperasi pada kapasiti penggunaan yang lebih rendah pada 78.2% dalam suku kedua 2023 berbanding 79% dalam tempoh sama pada tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tersebut merupakan kali kedua pada tahun ini berikutan penyusutan yang dicatatkan dalam hampir kesemua subsektor, kecuali pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka.
Bagaimanapun, beliau berkata kapasiti penggunaan pembuatan enam negeri telah melepasi paras kadar nasional pada suku kedua tahun ini sebanyak 78.2% pada suku kedua 2023.
Ini terdiri daripada Terengganu (86.4%), Selangor (82%), Melaka (81.8%), Johor (78.7%), Kedah (78.6%) dan Negeri Sembilan (78.3%).

Berbanding suku tahun sebelumnya, beliau berkata kapasiti penggunaan industri pembuatan terus menurun kepada 1.6 mata peratusan daripada 79.8%.
“Penurunan pada suku kedua 2023 juga dicerminkan oleh pengeluaran output pembuatan, yang merekodkan pertumbuhan marginal 0.1% dalam indeks pengeluaran perindustrian berbanding 3.4% pada suku pertama 2023.
“Beberapa faktor menyumbang kepada penurunan kapasiti pengeluaran pada suku kedua 2023, terutamanya permintaan rendah; bekalan bahan tidak mencukupi; serta pembaikan dan penyelenggaraan mesin dan peralatan,” ulasnya dalam satu kenyataan media hari ini. - DagangNews.com

