
SHAH ALAM: Tahap kebersihan Sungai Klang semakin baik selepas lebih 98,000 tan metrik (tan) pelbagai jenis sampah dibawa keluar dari terusan sepanjang 56 kilometer (km) itu sejak 2017.
Malah, kutipan sampah terkumpul setiap tahun di sungai itu menunjukkan penurunan sehingga 63 peratus sejak antara 2016 dan 2017 hingga tahun lalu apabila sekitar 5,000 hingga 6,000 tan tan sisa dibawa keluar berbanding 16,000 tan.
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn. Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata, kerja-kerja pembersihan yang dilakukan hampir 10 tahun lalu itu menelan belanja sehingga RM10 juta apabila sebanyak RM200 diperlukan bagi setiap satu tan sampah.
Katanya, setiap hari secara purata kutipan sampah di Sungai Klang antara 100 hingga 150 tan.
“Sasaran kita, kalau boleh (kutipan) sampah di bawah 1,000 tan untuk tiap-tiap tahun. Kita tak boleh jangka tiada sampah langsung, kena praktikal dan realistik sebab Sungai Klang berada di dalam kawasan bandar.
“Penurunan kutipan sampah yang ketara adalah ketika pandemik Covid-19 apabila tak ada sampah. Jadi, kita tahulah sampah itu datang dari mana, sebab semua orang duduk rumah dan menguruskan sisa domestik masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KDEB Waste Management Bagi Pembangunan Tapak Pelupusan Telok Kapas, di sini, hari ini.
Jelasnya, pelbagai jenis sampah terkumpul sama ada sisa domestik ataupun pukal dibawa keluar dari sungai ikonik itu.
Malah, LLSB turut berdepan cabaran apabila mengesan sisa-sisa yang terbenam pada kedalaman tiga hingga lima meter di dasar sungai yang perlu dikeluarkan untuk meningkatkan kualiti airnya.
“Penurunan setiap tahun sekitar 15 ke 20 peratus dari tahun pertama. Impak paling ketara ialah peningkatan kualiti air. Dulu ketika sampah banyak, kualiti air kelas 5 iaitu sangat-sangat tercemar dengan masalah bau dan perubahan warna.
“Bila kita keluarkan sampah, sekarang alhamdulillah kualiti air meningkat ke tahap pertengahan antara kelas empat atau tiga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syaiful Azmen memaklumkan perkembangan projek pendalaman Sungai Klang dan menaik taraf tebing bagi mengelak banjir yang berpunca dari terusan tersebut kini berada pada tahap 68 peratus meningkatkan kapasiti sungai sehingga 22 peratus.
“Ada beberapa kawasan terutama yang kritikal di Taman Seri Muda, Shah Alam sudah dilebarkan dan penambahbaikan tebing termasuk ban. Setakat ini kita sudah gali kira-kira 1.5 juta meter padu (dari Bandar Shah Alam ke muara sungai) untuk meningkatkan kapasiti.
“Kita mengurangkan risiko overtopping, masih berlaku banjir tetapi bukan disebabkan oleh limpahan sungai, sebaliknya berpunca daripada (limpahan) saliran dalaman. Bukan seperti yang berlaku pada 2021,” jelasnya. – UTUSAN
The post Kapasiti Sungai Klang meningkat, 98,000 tan sampah dikeluarkan appeared first on Utusan Malaysia.






