Kapten Afiq hubungi ibu sejam setengah sehari sebelum nahas

10 Sep 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kapten Afiq hubungi ibu sejam setengah sehari sebelum nahas

SEREMBAN: Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 29, yang maut dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Ba­ram, Sarawak, kelmarin berbual hampir sejam setengah dengan ibunya sehari sebelum nahas.

Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Afiq berbual biasa mengenai keluarga bersama ibunya, Zaiton Muda, 59.

“Dia seorang yang ceria, bertanggungjawab dan baik. Memang cita-citanya untuk menjadi juruterbang sejak di bangku sekolah.

“Walaupun dia boleh pergi ke mana-mana universiti selepas sekolah, dia tetap mahu jadi juruterbang. Jadi saya usahakan juga untuk dia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Bee Sham, pada awalnya dia menyangka kejadian berkenaan tidak melibatkan kehilangan nyawa sebelum mendapat pengesahan mengenainya.

“Saya dapat tahu mengenai kejadian ini kira-kira pukul 5.15 petang selepas dimaklumkan oleh anak kelapan saya yang mendapat maklumat daripada rakannya.

“Pada awalnya saya ingatkan ia hanya nahas biasa dan tidak melibatkan kehilangan nyawa kerana sebelum ini ada juga kejadian seperti itu, tetapi semua penumpang selamat.

“Bagaimanapun, saya kemudian menghubungi rakan yang bekerja bersama arwah di Miri dan dia mengesahkan kejadian itu,” katanya.

Bee Sham berkata, dia sekeluarga masih sukar menerima berita berkenaan, lebih-lebih lagi selepas kali terakhir bertemu arwah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, bulan lalu.

“Dia terlalu muda. Saya masih tidak percaya dia sudah tinggalkan kami. Tidak sempat saya nak bermanja dengannya,” katanya.

Bee Sham berkata, arwah yang merupakan anak keempat daripada 12 beradik itu sudah bekerja sebagai juruterbang ketika berusia 21 tahun.

Menurutnya, arwah Zainol Afiq meninggalkan isteri, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31 dan dua orang anak Adelia Sofia, 6 dan Ian Zayn, 9 bulan

Dalam pada itu, Bee Sham berkata, dia bersama isteri, tiga anak serta ibu dan bapa mentua Allahyarham telah ke Miri, Sarawak bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.

“Isteri arwah pula sepatutnya kembali ke Miri semalam selepas seminggu balik kampung di Bera, Pahang. Sebelum berlepas dari KLIA, pihak syarikat hanya memaklumkan mereka akan menunggunya di Lapangan Terbang Miri. Sampai di Miri, barulah dia tahu apa yang berlaku.

“Saya difahamkan jenazah masih berada di lokasi kejadian dan kami berharap semua urusan dipermudahkan serta dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Height, Se­nawang.

“Sampel asid deoksiribonuk­leik (DNA) saya juga akan diambil sebaik tiba di sana bagi tujuan pengecaman,” katanya.

Media melaporkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, pada pukul 3.58 petang kelmarin. – UTUSAN

The post Kapten Afiq hubungi ibu sejam setengah sehari sebelum nahas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved