‘Kapten Zainol Afiq sentiasa solat awal waktu, borak benda baik’

10 Sep 2026 • 12:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kapten Zainol Afiq sentiasa solat awal waktu, borak benda baik’

PETALING JAYA – Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, seorang yang sentiasa menjaga solat di awal waktu, bahkan rajin mengajak rakan-rakannya untuk sentiasa berbuat baik.

Rakannya, Azrai Mohd Zain berkata, Allahyarham dianggap sebagai abang dalam kalangan kawan-kawan serta mempunyai peribadi yang baik sekali gus disenangi oleh setiap orang.

“Kami berdua berasal dari Senawang, cuma perjumpaan kami bermula di syarikat penerbangan awam di Subang, AFJETS Sdn Bhd. Beliau masuk ke syarikat selepas tiga tahun saya di sana. Apa yang istimewa insan ini, bersaksi kan mata dan jasad saya, seorang yang sangat baik hati, tidak berkira, solatnya sentiasa di awal waktu, rajin mengajak rakan-rakan berbuat baik.

“Beliau dan seorang lagi sahabat yang kami anggap abang kami, Abang Eddy, selalu bawa saya ke Masjid Bukit Jelutong selepas waktu kerja untuk solat berjemaah di sana dan dengar tazkirah di masjid sebelum kami pulang ke rumah kami,” katanya pada hantaran Threads semalam.

Azrai berkata, Allahyarham merupakan rakan serumahnya sebelum mendirikan rumah tangga, malah mereka sering pulang ke Senawang serta kembali ke Shah Alam bersama-sama.

“Tidak pernah berkira dengan saya, sentiasa borak benda yang baik baik,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Allahyarham Zainol Afiq mempunyai bakat kemahiran dalam pertukangan kayu dengan hasilnya sangat memuaskan.

“Sebut je nak buat apa, beliau pasti boleh buat. Kerusi, meja, frame (bingkai) gambar, apa sahaja yang melibatkan kayu, bagi beliau boleh settle (selesai). Dan hasil kerja beliau sangat teliti dan cantik.

“Sampaikan syarikat saya bekerja sekarang ni pernah melantik beliau buatkan frame gambar antik buat restoran makan yang pernah kami usahakan. Selepas kami dah tak bersama, beliau selalu juga berhubung, tak pernah lupa, dan saya suka usik beliau di Insta Stories,” ujarnya.

Azrai berkata, banyak kebaikan hati Allahyarham Zainol Afiq selain pernah merancang bersama beberapa rakan sekerja untuk menyambut hari jadinya di rumah arwah ketika baru mendirikan rumah tangga.

“Ketika itu, saya betul betul terharu. Kami sempat juga buat acara berbuka puasa ramai ramai di kediaman baharu beliau ketika di Setia Alam. ketika itu, anak sulung beliau Sophia telah pun lahir dan sudah pandai berjalan.

“Turut ada abang Kapten Zainol juga. Juga seorang yang sentiasa senyum dan peramah. Pendek kata, keluarga mereka ni memang kalangan orang yang baik dan menyenangkan semua orang,” katanya.

Azrai berkata, selepas Allahyarham berhijrah ke Sarawak, mereka jarang bertemu selain pernah merancang untuk berjumpa, namun tidak menjadi kenyataan.

“Tetapi tidak pernah lupa tanya khabar masing masing. Bila petang semalam (kelmarin) dapat berita mengenai kejadian terhempas itu, sebolehnya saya harapkan bukan beliau yang berada di situ.

“Tetapi lepas pengesahan, saya tak mampu berkata apa-apa, sebab saya begitu terkesan. Bukan sebab beliau kawan atau sahabat saya, tetapi beliau seorang yang sangat baik. Orang yang baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kapten Zainol Afiq sentiasa solat awal waktu, borak benda baik’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved