Kapten, dua leftenan antara didakwa kes dadah TUDM

27 Nov 2026 • 10:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kapten, dua leftenan antara didakwa kes dadah TUDM
Tiga pegawai TUDM antara enam individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat. Foto: Rosli Talib
Image from: Kapten, dua leftenan antara didakwa kes dadah TUDM
Dua individu yang turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram (kg). Foto: Rosli Talib

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara enam individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram (kg).

Tiga pegawai berkenaan ialah Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34; Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33 dan Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27.

Turut didakwa ialah tiga orang awam, Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28; dan Afifah Amdas, 34.

**media[3724310]**

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama mengedar dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 96.2kg di Foyer Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, kira-kira jam 6.50 petang, 17 November lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kesalahan mengikut seksyen berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar Mohd Fairuz Johari dan Nur Amirah Zahari.

Tertuduh Amir Ariffudin diwakili peguam-peguam Arif Azmi, Johan Radzi dan Raqib Osman manakala tertuduh Muhammad Arif dan Muhammad Amirul masing-masing diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah dan Alif Ahmad Tarmizi.

Tertuduh Sui Seng pula diwakili peguam, Mohd Arif Rafin.

Mahkamah menetapkan 23 Februari depan bagi sebutan semula kes dan tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, tiga tan dadah disyaki jenis syabu bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan TUDM di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.

Kegiatan tersebut dikesan menerusi risikan berterusan PDRM yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.

Daripada jumlah itu, 14 transaksi dari Pangkalan TUDM Labuan melibatkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved